Kuala Terengganu: Tun Dr Mahathir Mohamed menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1998 sebagai pencetus kepada perpecahan orang Melayu.Bekas Perdana Menteri itu berkata, setiap orang boleh mempunyai pendapat sendiri, tetapi hakikatnya perpecahan Melayu berlaku sejak awal negara mencapai kemerdekaan. 





Kita bermusuh kerana terlalu taksub kepada pemimpin atau kumpulan tertentu dengan alasan memperjuangkan Islam tanpa memikirkan kesan daripada permusuhan itu. Malah, kita sanggup berpecah tanpa memikirkan sama ada ia membawa kebaikan atau keburukan kepada kita," Dr Mahathir Mohamed, Bekas Perdana Menteri
“Apabila cadangannya tidak diterima, beliau keluar lalu menubuhkan Parti Negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Program Bicara Negarawan sempena Seminar Peningkatan Kemajuan Kerjaya Pegawai-Pegawai Tadbir Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini semalam.

Dr Mahathir berkata, perpecahan kedua berlaku apabila kumpulan ulama dalam UMNO keluar parti untuk menubuhkan PAS selepas permintaan memegang 10 kerusi ditolak.

Perpecahan berikutnya berlaku apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan parti Semangat 46 selepas tewas dalam perebutan kerusi Presiden UMNO.

Risiko jadi minoriti 
Sehubungan itu, katanya, pemecatan Anwar tidak boleh dianggap sebagai titik permulaan perpecahan orang Melayu.

“Keputusan memecat Anwar juga bukan dibuat oleh saya secara bersendirian, sebaliknya diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang bersetuju beliau tidak boleh dibenarkan memimpin negara menggantikan saya.

“Kita tidak boleh menerima orang yang begitu rendah nilai moralnya menjadi Perdana Menteri. Kita akan malu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Anwar yang bijak berpidato dapat memesongkan fikiran rakyat dan menyalahkan orang yang memecatnya tetapi tidak mempertikaikan nilai moralnya.

Dr Mahathir turut mengingatkan bangsa Melayu akan hilang dari muka bumi jika perpecahan yang berlaku sekarang tidak dibendung.

Beliau berkata, kemungkinan bangsa Melayu hilang adalah sesuatu yang serius seperti berlaku pada keturunan Melayu di Selatan Thailand dan Singapura yang sudah hilang identiti kerana tidak lagi boleh berbahasa Melayu.

Katanya, walaupun orang Melayu masih majoriti, ia akan menjadi minoriti jika ia terus berpecah kepada beberapa puak atau kumpulan.

“Kita tidak perlu fikir dengan mendalam (mengenai perkara ini) kerana ia sudah jelas, jika kita tidak lagi majoriti di negara ini, ia akan membawa kesan yang amat buruk.

Taksub pemimpin

“Kita bermusuh kerana terlalu taksub kepada pemimpin atau kumpulan tertentu dengan alasan memperjuangkan Islam tanpa memikirkan kesan daripada permusuhan itu. Malah, kita sanggup berpecah tanpa memikirkan sama ada ia membawa kebaikan atau keburukan kepada kita,” katanya.

Mengulas mengenai perjanjian damai Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Dr Mahathir bersyukur kerana akhirnya kedua-dua pihak dapat menyelesaikan pertikaian secara rundingan.

“Ini cara terbaik dan memang berperang itu mungkin cara yang tidak dapat dielakkan tetapi jika kita boleh selesaikan secara rundingan adalah lebih baik kerana ia tidak membabitkan pembunuhan dan kemusnahan harta benda,” katanya.