Pages

Ads 468x60px

Tuesday, February 10, 2009

ADA DUA LAGI PILIHANRAYA KECIL

IPOH: Pakatan Rakyat yang kehilangan kuasa di Perak minggu lalu, kini berdepan dua pilihan raya kecil apabila Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum meninggal dunia manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, Kedah, V Arumugam meletak jawatan. Ketika pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dilihat menjadi medan bagi Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) menilai tahap sokongan rakyat berikutan krisis kepemimpinan di Perak, peletakan jawatan Arumugam, menimbulkan persoalan kemungkinan perkembangan serupa turut akan menular di Kedah. 

Sementara pemimpin BN menyifatkan pilihan raya kecil Bukit Gantang akan menyelesaikan kesangsian yang timbul berikutan kejayaannya mengambil alih pentadbiran Perak, Pakatan Rakyat tentunya berazam untuk mempertahankan kerusi berkenaan bagi membuktikan sokongan terhadapnya di negeri itu masih kuat. 

Roslan, 50, wakil Pas yang memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang pada pilihan raya umum lalu selepas menewaskan calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dengan majoriti 1,566 undi, meninggal dunia akibat sakit jantung pada kira-kira jam 12 tengahari semalam di Batu Gajah, selepas terjatuh ketika mengayuh basikal ke farmasi bagi membeli ubat.

Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri dan 11 anak, adalah bekas Pengerusi Yayasan Perak ketika Pakatan Rakyat memerintah. Beliau menghadapi masalah kesihatan selepas pulang dari Taiwan baru-baru ini, malah pernah dimasukkan ke hospital di negara itu ketika lawatan terbabit. 

Isterinya, Safiah Harun, berkata Allahyarham yang sebelum kejadian itu menunggu keretanya dicuci di sebuah stesen minyak, mengadu sakit dada lalu meminjam basikal seorang pekerja di situ untuk ke farmasi berdekatan tetapi terjatuh selepas mengayuh beberapa meter dan dijumpai orang ramai pada kira-kira jam 11.15 pagi sebelum dihantar ke Hospital Batu Gajah. 

“Beliau bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan,” katanya ketika dihubungi. Jenazahnya Allahyarham dituntut keluarganya pada kira-kira jam 3 petang semalam dan terus dibawa ke Kampung Changkat Larang, dekat sini, serta selamat dikebumikan selepas solat Asar. 

Sementara itu, peletakan jawatan Arumugam sebagai Adun dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Masyarakat India Kedah, diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dalam sidang media di kediaman rasminya di Bukit Mentaloon, Alor Setar, malam tadi.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu yang berkuat kuasa serta-merta, dimaklumkan melalui surat yang dihantar Arumugam kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Azizan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Isa Ismail, jam 5 petang semalam. 

“Surat dua halaman bertarikh 8 Februari 2009 itu turut disertakan akuan bersumpah yang memaklumkan mengenai tekanan yang dihadapi beliau sejak memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lalu, selain ancaman terhadap keselamatan diri dan keluarganya,” katanya. 

Bagaimanapun Azizan berkata, sehingga ini beliau belum dapat bercakap dengan Arumugam yang menghilangkan diri sejak Khamis lalu, malah panggilan telefon termasuk daripada beliau sendiri tidak dijawab. 

“Saya ada berjumpa Arumugam lima atau enam hari lalu, tetapi tidak membincangkan perkara itu (peletakan jawatan),” katanya yang menolak dakwaan peletakan jawatan itu ada kaitan dengan kemelut politik, sebaliknya lebih kepada masalah peribadi, sekali gus menafikan kemungkinan wujud isu lompat parti. 

Difahamkan, peletakan jawatan Arumugam yang bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum lalu, tetapi menyertai PKR dan kemudian dilantik Exco, mempunyai kaitan dengan memorandum yang dihantar kepada Sultan Kedah dan Azizan minggu lalu berhubung dakwaan salah laku moral membabitkannya. 

Sementara itu, Isa berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN itu hari ini untuk tindakan lanjut. 

Berikutan kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau itu, pilihan raya kecil perlu diadakan di kedua-dua kawasan berkenaan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh penerimaan notis rasmi oleh SPR. 

0 comments:

Post a Comment