Pages

Ads 468x60px

Wednesday, February 18, 2009

JALIN KERJASAMA DENGAN KERAJAAN

Masyarakat luar bandar akan menikmati pembangunan berterusan

SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat mengingatkan masyarakat luar bandar agar menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan demi memastikan pembangunan dapat terus disalurkan.

Menurutnya, tanpa kerjasama erat, sukar bagi kerajaan melaksanakan projek-projek untuk meningkatkan taraf hidup rakyat seperti pembangunan jalan raya dan sebagainya.

“Kita berharap rakyat akan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan agar pembangunan dapat terus disalurkan ke kawasan-kawasan yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Bahagian Sri Aman di Rumah Laban Kulok, Melugu Skim, Sri Aman dekat sini petang kelmarin (Jumaat).

Katanya, kerajaan sentiasa mengutamakan pembangunan demi kesejahteraan rakyatnya sama ada di bandar mahupun luar bandar.

“Kita mahu semua masyarakat, tidak mengira di bandar atau di kawasan pedalaman, menikmati hasil pembangunan secara sama rata.

“Apa yang mustahak ialah kerjasama antara rakyat dan kerajaan. Dengan adanya kerjasama yang erat, mudah bagi kerajaan untuk membawa projek-projek pembangunan ke sesuatu kawasan untuk kemudahan dan keselesaan rakyat,” jelasnya.

Oleh itu, Masir menjelaskan sokongan padu kepada wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing amat diperlukan.

“Wakil rakyat dipilih oleh rakyat sendiri. Jadi amat penting bagi masyarakat di sesuatu kawasan memberi sokongan padu kepada wakil masing-masing,” tambahnya.

Dalam pada itu, Masir berharap penduduk luar bandar mengubah cara mereka berfikir kerana pemikiran lama boleh menghalang pembangunan dalam diri mereka sendiri.

Sehubung itu, Masir turut mengajak rakyat menolak parti pembangkang yang sudah mula bergerak ke seluruh kawasan di negeri ini untuk meraih simpati pengundi agar menyokong mereka (pembangkang).

“Rakyat kita sebenarnya sudah pandai menilai parti mana yang mampu membawa perubahan kepada negeri kita ini, sebenarnya telah terbukti kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu membawa perubahan kepada rakyat.

“Oleh yang demikian, rakyat tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan mereka ini,” jelasnya lanjut.

Turun hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Mong Dagang, Pegawai JASA Bahagian Sri Aman dan Parlimen 202 Sri Aman Whelthon Lumpoi dan Pembantu Luar Kanan, JASA Sri Aman bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan, Roland Demong Radin.

0 comments:

Post a Comment