Pages

Ads 468x60px

Wednesday, February 18, 2009

11 MOU BABIT PERLABURAN RM 4.1 B DI SARIKEI

Sebelas Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan cadangan pelaburan RM4.1 bilion akan dimeterai pada pelancaran hab halal terbesar Malaysia, Hab Halal Tanjung Manis di Sarikei, Sarawak yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini. 

MoU berkenaan akan dimeterai pelabur terbabit yang terdiri daripada enam syarikat Taiwan dan lima syarikat tempatan yang berpangkalan di Semenanjung dan Sarawak, dengan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka). 

Sumber memberitahu, pelaburan terbesar membabitkan syarikat dari Taiwan yang akan melaksanakan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk projek akuakultur.

Perjanjian dengan syarikat tempatan pula lebih membabitkan pelaburan dalam sektor perladangan dan mengetin makanan. 

Hab Halal Tanjung Manis menawarkan kepada pelabur pelbagai potensi serta peluang untuk meneroka perniagaan pengeluaran makanan halal yang mendapat permintaan tinggi pada peringkat global. 

Terletak di lokasi strategik di pantai barat Sarawak, membabitkan kawasan seluas 30,000 hektar, ia bakal mempunyai pelabuhan sendiri yang dibina di kawasan seluas 35.1 hektar dengan dermaga 600 meter selari dengan Sungai Rajang.

Hab yang terletak di Node Pertumbuhan Selatan, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) itu bakal menjadi tumpuan industri penternakan udang akuakultur biotek, baja dan pengeluaran makanan ternakan serta pengeluaran ayam dan telur. 

Industri lain termasuk penternakan belut, ikan marin, industri pemprosesan akuakultur, pusat R&D, ladang sayuran dan buah-buahan serta herba. 

0 comments:

Post a Comment