Pages

Ads 468x60px

Monday, February 23, 2009

RUMAH PANJANG PERLU BERSATU

Rumah panjang atau kampung yang mempunyai jumlah keluarga yang kurang daripada 20 pintu digalakkan untuk bergabung kerana jika tidak akan menyebabkan mereka sukar untuk menerima bantuan atau peruntukkan pembangunan daripada pihak kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang menyeru agar rumah panjang atau kampung yang kurang 20 keluarga / pintu untuk bergabung dan membentuk sebuah Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung. Apabila terdapat rumah panjang/kampung kurang dari jumlah minimum menyebabkan ketua mereka hanya dianggap sebagai Wakil / PemangkuTuai Rumah.

Dan apabila perkara ini terjadi, rumah panjang terbabit sekaligus juga tidak dapat menumbuhkan sebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang selama ini menjadi satu saluran penting oleh penduduk mendapatkan peruntukkan pembangunan daripada pihak kerajaan.

Atas sebab ini YB Mong Dagang (ADUN N.26 Bukit Begunan) menggalakkan Wakil Tuai Rumah yang mempunyai jumlah penghuni kurang daripada 20 pintu haruslah mencari jalan dengan lain-lain rumah panjang (kekurangan jumlah yang sama) dari sekitar kawasan masing-masing untuk membentuk penggabungan.

Hanya dengan jalan ini kata Mong barulah gabungan sesebuah rumah panjang yang mempunyai lebih 20 keluarga penghuni dapat menubuhkan sebuah JKKK demi memohon peruntukkan pembangunan daripada pihak kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman bertempat di Rumah Laban, Skim Melugu, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu kata Mong, penggabungan sesebuah rumah panjang yang kekurangan jumlah penghuni selama ini juga membolehkan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi melaksanakan sesebuah projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Di bawah ‘payung’ JKKK, kesemua penghuni rumah panjang terbabit menurut beliau dapat duduk berbincang untuk menjayakan sesebuah projek pembangunan yang bakal kerajaan perkenalkan kepada mereka.

“Projek penanaman sawit misalannya mungkin boleh dijayakan oleh kerajaan dengan kerjasama penduduk sesebuah rumah panjang terbabit sekiranya mereka sudah sebulat suara mempersetujui rancangan terbabit.

“Justeru saya berharap agar semua Wakil Tuai Rumah di daerah ini untuk memulakan usaha penggabungan mereka dengan lain-lain rumah panjang demi kebaikan masa depan masing-masing,” tambah Mong yang seterusnya mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM3,000 kepada JKKK rumah panjang tersebut.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat yang merasmikan majlis ini turut mengumumkan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman bertempat di Rumah Laban, Skim Melugu ini turut mengumumkan peruntukkan bernilai RM3,000 kepada rumah panjang berkenaan.


0 comments:

Post a Comment