Pages

Ads 468x60px

Friday, June 19, 2009

Kualiti wakil rakyat BN S’wak tidak diragui

Mereka mampu membawa pembangunan kepada rakyat negeri ini, kata Najib

SERIAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak meragui kemampuan dan kualiti wakil rakyat Barisan Nasional Sarawak dalam membawa pembangunan kepada rakyat.

Wakil rakyat BN dari Sarawak menurut beliau sentiasa berusaha dan bersemangat ke arah memajukan negeri ini.

“Saya tidak meragui kualiti dan keupayaan yang dimiliki wakil rakyat BN dari negeri ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Pichin, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tahap kemampuan wakil rakyat BN dalam membawa pembangunan dan kemajuan di Sarawak.

Bercakap dalam sidang media yang sama, Najib yang juga Pengerusi BN amat berpuas hati dengan lawatan dua harinya kerana ia menepati konsep 1Malaysia.

Najib berkata lawatan ke kampung serta rumah panjang di kawasan pedalaman meningkatkan pemahaman kerajaan terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat.

Mengenai pembentukan kerajaan perpaduan dengan PAS, Najib yang juga Presiden UMNO berkata idea penubuhan kerajaan perpaduan itu masih belum memasuki peringkat perbincangan lagi.

“Belum ada perbincangan mengenai perkara ini (kerajaan perpaduan), kita terpaksa melalui proses pilihan raya (Manek Urai),” katanya lagi sambil menambah isu kerajaan perpaduan dan pilihan raya kecil di Kelantan itu adalah berbeza dan memerlukan penyelesaian tersendiri.

Sementara itu katanya, kerajaan belum membuat keputusan berhubung pembinaan jambatan ketiga antara Malaysia dan Singapura.

Katanya, perkara itu masih di peringkat cadangan lagi kerana sebelum dilaksanakan, satu kajian mendalam perlu dilakukan bagi memastikan sama ada ia memberi faedah atau tidak kepada dua negara.

“Ini bukan keputusan muktamad lagi dan kita akan mengambil langkah untuk membuat kajian dulu, selepas kajian kemungkinan dibuat, kita kena tengok sama ada jambatan ini bermanfaat atau tidak,” ujarnya lagi.

* Sumber dari Utusan Borneo

0 comments:

Post a Comment