Pages

Ads 468x60px

Friday, June 19, 2009

MAJUKAN TANAH ADAT BUMIPUTERA

LUBOK ANTU 18 Jun - Masyarakat Dayak terutamanya kaum Iban di kawasan Batang Air perlu mencari jalan untuk membangunkan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik masing-masing dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kaum Iban tidak seharusnya membiarkan tanah NCR milik mereka terbengkalai sedangkan ia mampu mengeluarkan hasil sekiranya diusahakan dengan cara yang betul.

Katanya, mereka perlu mengambil peluang menerusi kelebihan barisan pemimpin kaum Iban seperti wakil rakyat, Malcom Mussen Lamoh yang merupakan bekas kakitangan kerajaan serta berpengalaman luas mengenai pembangunan tanah untuk membantu rakyat di situ.

''Malah pemimpin kaum Iban iaitu Datuk Seri James Jemut Masing pula memegang portfolio Menteri Kemajuan Tanah Sarawak yang secara tidak langsung mempunyai hubung kait dengan hal ehwal pembangunan tanah penduduk di negeri ini.

''Saya berharap Mussen bekerjasama erat dengan Masing dalam usaha mencari jalan yang terbaik untuk memajukan tanah NCR di kawasan ini untuk meningkatkan taraf hidup penduduk-penduduk di sini," katanya pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Manai, Nanga San di sini hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KLBW), Datuk Seri Shafie Apdal, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas, barisan Kabinet Persekutuan dan negeri.

Pada masa yang sama, Abdul Taib mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada rakyat di Batang Air kerana memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil 7 April lalu.

Katanya, ia telah membuktikan bahawa pengundi di Batang Air tidak mudah terpengaruh dengan janji dan hasutan parti pembangkang yang sememangnya sentiasa mencari mangsa untuk menyokong perjuangan mereka selama ini.

Mussen calon BN dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang dengan majoriti 1,854 undi pada pilihan raya kecil itu.

Pada pilihan raya berkenaan, Mussen memperoleh 3,907 undi manakala Jawah mendapat 2,053 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang dari BN, Datuk Dublin Unting Ingkot setelah koma sembilan bulan akibat diserang angin ahmar.

0 comments:

Post a Comment