Pages

Ads 468x60px

Tuesday, September 8, 2009

RM20 juta naik taraf Peryatim

SIBU 7 Sept. - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi membina dan menaik taraf kompleks Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (Peryatim) di seluruh negeri ini.

Pengerusi Peryatim, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, sebahagian daripada peruntukan itu akan digunakan bagi membina Kompleks Peryatim di Sibu yang bernilai RM12 juta.

Manakala jelasnya, sebanyak RM5 juta akan dibelanjakan untuk memperbesarkan Kompleks Peryatim Kuching sementara RM3 juta lagi digunakan bagi menambah dua buah asrama Kompleks Peryatim di Miri.

''Kita berharap dengan pembinaan dan penambahbaikan kompleks ini ia akan memberi keselesaan dan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak yatim," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim di Dewan Kelab Melayu Nyabor di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan Residen Bahagian Sibu, Sim Kok Kee.

Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) memberitahu, Kompleks Peryatim Sibu merupakan kompleks yang terbesar di Sarawak kerana ia mampu menempatkan kira-kira 300 anak yatim.

Menurutnya, kompleks-kompleks Peryatim sedia ada di negeri ini telah menjalankan peranan mereka dengan baik dalam usaha menjaga kebajikan anak-anak yatim di negeri ini.

''Peryatim telah menjalankan tugasnya dengan sebaiknya dan adalah diharapkan anak-anak yatim ini akan terus berusaha sehingga mempunyai masa depan yang cerah kelak," katanya.

0 comments:

Post a Comment