Pages

Ads 468x60px

Wednesday, September 9, 2009

RM4.7 juta baiki jalan runtuh di Kg Gumbang

BAU: Penduduk Kampung Gumbang yang resah kerana jalan utama mereka mengalami kerosakan teruk akibat beberapa siri tanah runtuh kini boleh menarik nafas lega apabila kerja membaik pulih jalan berkenan akan dimulakan bulan depan.

Ahli Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos berkata, kerja-kerja membaik pulih jalan yang merangkumi tujuh lokasi tanah runtuh itu melibatkan kos sebanyak RM4.7 juta.

“Kini Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menawarkan tender kepada kontraktor untuk melakukan kerja baik pulih dan selepas itu kerja-kerja akan dimulakan bagi mengelak tanah runtuh menjadi semakin serius,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dawos menambah, peruntukan untuk projek berkenaan adalah daripada kerajaan persekutuan.

“Selama ini kita bukan tidak bertindak terhadap aduan penduduk kerana ia telah dibawa kepada kerajaan sejak dahulu lagi cuma kita menunggu peruntukan disalurkan untuk melaksanakan kerja membaik pulih.

“Tambahan kita kena me-rujuk kepada kerajaan untuk menganggarkan kos untuk kerja baik pulih ini,” jelasnya.

Sementara itu dalam kenya-taan akhbar yang dikeluarkan semalam, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu pagi semalam melawat Kampung Gumbang bagi menilai dan memeriksa sendiri kerosakan yang dialami.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan turut di-temani Dawos, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh Dr Jerip Susil, Penolong Pengarah JKR Philip Ng dan Ketua Kampung Gumbang Keelim Nilam.

Jabu dalam sesi dialog bersama penduduk kampung semalam mengumumkan sejumlah RM4.725 juta telah diluluskan kerajaan persekutuan untuk memulihkan tanah runtuh di jalan Kampung Gumbang.

Sementara itu Keelim berkata, kedatangan para wakil rakyat ke kampung mereka semalam adalah amat dihargai dan beliau berterima kasih kerana ia bakal meleraikan permasalahan yang dihadapi penduduk selama ini.

“Datuk Patinggi dan kedua-dua wakil rakyat datang meluangkan masa lebih kurang selama dua jam ke kampung ini.

“Kedatangan mereka juga bukan sekadar untuk melihat lokasi tanah runtuh sahaja malah mengadakan dialog dengan penduduk-penduduk di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Gumbang, semalam.

Keelim berharap kerja-kerja pemulihan jalan berkenaan dapat dilaksanakan dengan segera kerana kejadian tanah runtuh itu semakin menjadi-jadi.

“Jalan berkenaan merupakan perhubungan utama di kampung ini untuk keluar, sama ada ke pekan Bau atau bandar raya Kuching.

“Malahan di sini juga mempunyai sebuah sekolah dan sekiranya jalan berkenaan terputus ia bukan sahaja melibatkan penduduk kampung tetapi juga guru-guru yang mengajar di sekolah ini yang menggunakan jalan berkenaan,” tegasnya.

Kata beliau, dialog bersama wakil rakyat yang diadakan di balai raya kampung itu semalam turut menyentuh mengenai bekalan elektrik ke Kampung Gumbang.

“Penduduk kampung tidak dapat menikmati elektrik dan yang ada cuma sekolah SK Gumbang sahaja,” katanya sambil memberitahu kebanyakan penduduk kampung adalah petani.

Menurut Keelim yang menjadi ketua kampung sejak 16 tahun lalu, penduduk kampung itu hanya mendapat bekalan elektrik daripada jana kuasa diesel dan bagi yang tiada mereka menggunakan lilin atau lampu pelita.

“Kerajaan berjanji akan membekalkan elektrik kepada penduduk selepas kerja membaik pulih jalan runtuh ini selesai,” jelasnya.

0 comments:

Post a Comment