Pages

Ads 468x60px

Friday, September 11, 2009

S’wak juga beri RM500

KUCHING: Kerajaan Negeri akan bertindak mengikut langkah Kerajaan Persekutuan untuk memberikan bantuan khas berjumlah RM7.2 juta kepada 14,419 kakitangan awam negeri sebelum Hari Raya dan Disember sebelum sesi sekolah seterusnya bermula.

Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, setiap kakitangan kerajaan akan mendapat RM250 sebelum raya dan RM250 untuk seterusnya bulan Di-sember seperti pendekatan yang digunakan oleh kerajaan persekutuan.

“Bantuan ini diberikan ha-nya kepada kakitangan yang memegang kelayakan Diploma ke bawah untuk meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemu ramah di pejabatnya, semalam.

Sementara itu, Kesatuan Guru-Guru Sarawak (STU) mencadangkan kerajaan memberikan bonus sebulan gaji minimum RM1,000 kepada kakitangan awam dalam Bajet Persekutuan seterus-nya.

Presidennya William Ghani Bina berkata, ia adalah untuk berlaku adil terutamanya kepada golongan graduan atau kumpulan profesional yang tidak mendapat bantuan khas RM500.

“STU mencadangkan bantuan yang diberikan sekarang adalah dianggap sebahagian daripada bonus satu bulan dan minimum RM1,000 kepada semua kakitangan awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat STU di sini, semalam.

Katanya, STU tidak meminta untuk menambahkan bonus berkenaan tetapi bagi yang sudah menerima bantuan khas ia dianggap sebahagian daripadanya.

Beliau berharap cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan kerana ia sebagai menghargai kakitangan awam dalam menyumbangkan kepada negara setiap masa.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan khas kepada kumpulan sokongan sebanyak RM500 sebagai sokongan dan meringankan beban mereka,” katanya.

Katanya bantuan berkenaan adalah dianggap sebagai satu penghargaan daripada kerajaan.

“Selain daripada bonus kepada kakitangan awam, kita juga berharap kerajaan mempertimbangkan untuk memberikan bonus kepada kakitangan pekerja swasta kerana mereka juga menyumbang pembangunan negara,” jelas William.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lepas mengumumkan berita gembira untuk 860,000 penjawat awam kumpulan sokongan iaitu pemberian bantuan khas kewangan RM500 bagi kumpulan itu.

Bayaran khas kewangan itu akan dibuat dua kali iaitu RM250 dibayar sebelum Aidilfitri manakala bakinya pada bulan Disember sebelum sesi persekolahan bermula.

Najib berkata, implikasi kewangan kepada kerajaan bagi bayaran itu adalah sebanyak RM430 juta.

Mengulas mengenai isu perkauman yang sering terjadi sejak kebelakangan ini Wiliam menyarankan agar ahli-ahli politik tidak mengunakan isu perkauman sebagai agenda politik mereka.

“Kita bersyukur kerana Sabah dan Sarawak tidak mempunyai isu perkauman yang boleh memecahbelahkan masyarakat kita yang pelbagai kaum,” katanya merujuk kepada situasi pembinaan kuil yang berlaku di Selangor.

Beliau menjelaskan, di Sarawak tidak pernah timbul isu sedemikian malahan ada rumah-rumah agama berlainan dibina di kawasan yang sama atau di tempat yang berlainan bangsa.

Hadir sama sidang media, Setiausaha STU Bahagian Kuching Fu Yung Yung, Ketua Bendahari STU Jong Lai Fook dan Timbalan Setiausaha Agung STU Ong Kheng Syn.

0 comments:

Post a Comment