Pages

Ads 468x60px

Wednesday, September 30, 2009

Wanita Penan nafi dirogol

Ibu kepada dua orang anak itu dakwa dia dan anaknya dibawa ke Kuala Lumpur

MARUDI: Seorang wanita Penan berusia 22 tahun (gambar) menafikan laporan mana-mana akhbar bahawa dirinya menjadi mangsa rogol walaupun terpaksa tinggal di Kuala Lumpur selama tiga bulan.Ibu kepada dua anak perempuan yang berasal dari Long Item, Patah Baram itu secara sukarela tampil membuat laporan di Balai Polis Long Lama pada jam 1.45 petang Sabtu lalu.

Wanita yang enggan namanya disiarkan itu memberitahu bahawa pada bulan Oktober tahun lepas (2008) dia didatangi oleh seorang lelaki Penan ketika berada di rumah panjangnya di Long Item.

Menurutnya, lelaki dari Sungai Selungo, Ulu Baram itu menawarkan bantuan untuk membawa anaknya yang berumur setahun mendapatkan rawatan perubatan di Kuala Lumpur .

“Kebetulan juga anak saya sedang demam dan saya berpesan kepada kakak saya yang bernama Beta agar memberitahu suami saya bahawa saya pergi ke Kuala Lumpur bersama lelaki Penan tersebut dengan tujuan mendapatkan rawatan untuk anak perempuan saya yang sedang sakit,” kata wanita berkenaan ketika menceritakan pengalamannya.

Katanya, dia berangkat dari Long Item bersama dua anaknya menaiki sebuah kereta yang turut dinaiki seorang lagi wanita Penan bersama seorang anak perempuannya.

Menurutnya, setibanya di Miri mereka menginap di sebuah hotel sebelum terbang ke Kuching dan tinggal di (sebuah hotel) Kuching selama enam hari sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.

“Apabila tiba di Kuala Lumpur, kami berdua telah dipaksa oleh lelaki Penan tersebut menandatangi laporan kenyataan (report statement) di Bukit Aman.

“Bagaimanapun lelaki tersebut masih mengingatkan kami berdua agar jangan membuat laporan lagi walaupun telah kembali semula ke Sarawak nanti.

“Setelah memberi kenyataan di Bukit Aman, lelaki yang membawa kami itu menghilangkan diri dan hanya memberi wang saku RM100 setiap seorang,” katanya.

Selama tiga bulan tinggal di Kuala Lumpur, mereka menumpang di rumah sebuah keluarga Melayu dengan segala makan minum ditanggung tuan rumah.

Wanita itu berkata dia dan rakannya berjaya meninggalkan Kuala Lumpur atasan bantuan seorang peguam wanita sebelum perayaan Krismas tahun lepas.

“Sehingga kini saya belum pernah berjumpa dengan lelaki Penan tersebut .

“Selama sembilan bulan sejak pulang ke rumah panjang, saya tidak dibenarkan keluar rumah oleh penduduk kampung atas arahan lelaki Penan itu.

“Memandangkan nama baik saya tercemar akibat perbuatan lelaki tersebut maka saya membuat laporan polis untuk membersihkan nama saya,” katanya kepada Utusan Borneo sambil ditemani suaminya ketika membuat laporan polis.

Sementara itu, KPD Marudi DSP Jonathan Jalin Empading mengesahkan ada menerima laporan daripada wanita tersebut dan laporan telah dibuat di Balai Polis Long lama.

Menurutnya, polis akan menyiasat kes itu untuk tindakan selanjutnya.

0 comments:

Post a Comment