Pages

Ads 468x60px

Wednesday, October 7, 2009

Peniaga mahu bangunan lebih selesa

PORT DICKSON 6 Okt. - Para peniaga di Pasar Teluk Kemang di sini yakin hanya calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mampu memperjuangkan nasib dan masa depan mereka.

Menurut mereka, di sebalik kemajuan dan pembangunan yang dikecapi penduduk di sini, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian terutama oleh wakil rakyat yang dipilih.

Fatimah Lassim, 58, yang telah berniaga di situ sejak lebih 30 tahun lalu berkata, banyak yang perlu diperbaiki di pasar ini lebih-lebih lagi soal menaik taraf tempat berniaga.

''Ruang niaga di sini sudah uzur dan banyak yang rosak. Saya berharap, ini mendapat perhatian kerajaan segera untuk memberi wajah baru kepada Pasar Teluk Kemang ini," katanya.

Dia yang nyata gembira dengan kehadiran Mohd. Isa turut mempelawa calon BN ini duduk seketika digerainya yang menjual nasi lemak dan kuih muih, sambil mengadu mengenai masalah yang dihadapinya sejak sekian lama.

''Tong sampah diletakkan terlalu dekat dengan gerai saya. Orang nak makan pun tak selesa. Kalau boleh, alihkanlah.

''Lagi satu, kalau dah jadi wakil rakyat, jangan lupa jenguk kami di pasar ini. Selalulah turun padang," katanya kepada Mohd. Isa sambil disambut penuh keriangan peniaga di situ.

Kata Fatimah, longkang yang berlubang juga perlukan perhatian kerajaan untuk dibaiki segera.

Sementara itu, Kamal Hisham Md. Nor, 35, penjual santan dan kelapa parut di situ sejak beberapa tahun lalu berkata, pasar itu sudah terlalu lama dan sampai masanya untuk didirikan bangunan yang lebih selesa.

Kata Kamal, kalau hujan lebat, tempat dia berniaga itu akan dimasuki air, longkang tersumbat dan ada ketikanya bekalan elektrik terganggu.

Peniaga ikan, Kang Ah Kau, 63, dan isterinya, Yoke Choo, 60, memberitahu dia berniaga di situ sejak 20 tahun lalu dan gembira dengan perhatian yang diberikan kerajaan.

''Memanglah ruang dalam pasar kecil dan sempit, tetapi saya percaya ia akan diberi perhatian.

''Kalau boleh sediakan ruang letak kereta lebih luas, tidaklah terlalu rapat dengan gerai," kata Ah Kau.

Isterinya pula ketika ditanya adakah mengenali calon BN, Yoke Choo berkata, dia mengenali Mohd. Isa sebagai bekas Menteri Besar.

''Dia baik dan mesra kepada semua. Kami kenal dia sebagai pemimpin berkebolehan," kata Yoke Choo.

Dalam pada itu, Mohd. Isa yang ditemui pemberita menjelaskan, masalah yang dibangkit oleh peniaga di pasar itu tentunya mendapat perhatian pihak berkuasa.

''Pasar ini sudah lama, tidak menjadi masalah kepada kerajaan untuk membaiki kerosakan," katanya.

Pasar Teluk Kemang menempatkan lebih 40 gerai yang menjual ikan, ayam, daging, sayur, kedai runcit serta gerai makan dan telah dibina kira-kira 30 tahun lalu.

0 comments:

Post a Comment