Pages

Ads 468x60px

Thursday, October 8, 2009

Masalah semua kaum diselesai

SEREMBAN 7 Okt. - Pelbagai masalah rakyat membabitkan semua kaum di Port Dickson yang dibangkitkan dalam satu sesi dialog bersama pemimpin tiga hari lalu akan diselesaikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri akan menyelesaikan semua masalah tersebut dengan segera termasuk permasalahan yang bakal mengambil masa.

"Kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera ke atas perkara yang boleh diselesaikan dengan segera.

"Ada masalah perlu masa untuk diselesaikan dan dimasukkan dalam Belanjawan 2010 untuk dapat peruntukan, namun ia tetap diselesaikan demi memenuhi keperluan dan permintaan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Jelas Mohamad, antara masalah yang memerlukan tindakan segera adalah membabitkan penduduk di Taman Eastern.

"Penduduk menyuarakan tentang masalah perparitan yang sempit dan tidak sesuai di kawasan mereka.

"Memandangkan pembangunan di kawasan itu semakin pesat jadi ia tidak sesuai dan ada yang sudah runtuh, jadi kita luluskan pembinaan parit baru lebih besar sepanjang 600 meter panjang," jelas beliau.

Tambah beliau, masalah perparitan di kawasan lain seperti Kampung Si Rusa yang dilaporkan penyebab banjir juga selesai dengan pembinaan parit baru kelak.

Mengenai masalah tanah perkuburan Cina di Kampung Si Rusa yang dikatakan semakin padat dan dijangka penuh dalam tempoh kurang dua tahun lagi, Mohamad menjelaskan, kerajaan negeri akan berunding dengan lembaga pengurusan kawasan tersebut bagi tindakan lanjut.

"Kita akan bantu dalam usaha pengambilan tanah kerana tanah rizab negeri memang tidak ada lagi di kawasan itu.

"Jadi jika ada kawasan atau tanah yang sesuai untuk diambil alih kita akan membantu lembaga pengurusan jirat Cina terbabit," katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, kerajaan negeri meluluskan permohonan pihak pengurusan kuil Mariamman di bandar Port Dickson untuk mendapatkan tanah seluas 0.16 hektar di kawasan berhampiran.

"Dulu ia tapak Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil sebelum berpindah ke kawasan baru dua tahun lalu. Jadi baru-baru ini pihak kuil memohon semula tanah itu kerana ia sudah dijadikan rizab sekolah.

"Kita sudah dapat kelulusan bahawa pihak Kementerian Pelajaran tiada apa-apa bantahan untuk menyerahkan tanah tersebut kepada pihak kuil bagi digunakan sebagai dewan untuk pelbagai aktiviti mereka," katanya.

0 comments:

Post a Comment