Pages

Ads 468x60px

Friday, January 15, 2010

Unit khas JPN bergerak bulan depan: Abu Bakar

Beberapa pasukan khas di cawangan UKB seluruh negeri untuk bantu rakyat dapatkan MyKad

KUCHING: Unit Khas Bergerak (UKB) yang ditubuhkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam usaha menangani isu rakyat yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau MyKad dijangka akan bermula bulan depan.Pengarah JPN Sarawak, Datu Abu Bakar Mat berkata negeri ini baru-baru ini telah menubuhkan beberapa lagi pasukan khas untuk ditempatkan di beberapa cawangan UKB di seluruh negeri bagi operasi berkenaan.

“Kalau semuanya berjalan dengan lancar dijangka bulan Februari nanti kita akan memulakan aktiviti bagi menangani isu tidak mempunyai dokumen peribadi bagi yang berkelayakkan sahaja atau mereka yang sudah mempunyai sijil lahir tetapi belum mempunyai MyKad.

“Petugas-petugas ini nanti akan berusaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan dalam masa tempoh dua tahun,” katanya kepada pemberita selepas taklimat bersama media di pejabat JPN di sini, semalam.

Tempoh dua tahun itu katanya, merangkumi setahun untuk menyelesaikan masalah mereka yang mempunyai sijil lahir tetapi tidak mempunyai MyKad.

“Tempoh yang selebihnya bagi mereka yang tidak mempunyai dokumen, kita akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini bagi mereka yang berkelayakkan sahaja dan akan kenal pasti punca masalah mereka,” katanya.

Sebelum ini menurut Abu Bakar, UKB telah dilakukan di Kuching namun kekerapan lawatan agak kurang, justeru dengan adanya penempatan cawangan di beberapa kawasan ia dijangka akan mempercepatkan lawatan ke kawasan pedalaman.

“Setakat ini termasuk yang baru ditubuhkan kita mempunyai enam cawangan UKB iaitu di Sri Aman, Bintulu, Kapit, Betong, Miri dan Kuching yang akan merangkumi kawasan sekitarnya,” katanya sambil memberitahu UKB telah ditubuhkan pada awal tahun 2004.

Namun pada masa itu ia hanya bertumpu di Kuching sahaja selain mempunyai cawangan di Miri sebelum penubuhan UKB di kawasan lain.

Mengulas mengenai laporan masyarakat yang tidak mempunyai kad pengenalan terutamanya di pedalaman walaupun UKB telah lama diwujudkan Abu Bakar berkata: “Sarawak merupakan negeri yang paling besar di Malaysia dan untuk merangkumi semua kawasan di negeri ini adalah mustahil kerana kita juga menghadapi kekangan seperti kekurangan kakitangan selain bentuk muka bumi dan infrastruktur yang belum menyeluruh.”

“Justeru penubuhan UKB ini diharap dapat menyelesaikan masalah walaupun tidak 100 peratus sekurang-kurangnya menyelesaikan masalah masyarakat di pedalaman,” ujar beliau.

Abu Bakar dalam pada itu juga memberitahu, JPN kini masih menunggu peruntukan daripada kerajaan untuk menjayakan operasi UKB terbabit.

Menurutnya peruntukan yang pertama adalah untuk membeli kenderaan pacuan empat roda sebagai kemudahan mereka ke kawasan luar bandar selain menambah baik kelengkapan yang sedia ada untuk menjayakan UKB.

Hadir sama pada taklimat media itu ialah Timbalan Pengarah Operasi JPN Ahmad Khazali Mat Desa serta Timbalan Pengarah Pengurusan JPN Margaret Kuyor.

0 comments:

Post a Comment