Pages

Ads 468x60px

Monday, April 26, 2010

Kemenangan penuh bererti - PM

HULU SELANGOR 25 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil kawasan itu hari ini membawa erti yang amat besar kepada parti tersebut.

Perdana Menteri berkata, jika dibanding dengan keputusan Pilihan Raya Umum 2008, kejayaan kali ini menunjukkan berlaku perubahan sokongan kepada BN apabila parti itu memperoleh hampir 2,000 undi majoriti.

''Ini satu perubahan yang sangat besar ertinya, sebab kita bertanding di negeri yang dikuasai oleh parti pembangkang. Dengan kemenangan ini, kita akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memenuhi amanat dan akan memandang serius serta mengambil berat mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan pilihan raya berkenaan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

Berikutan kejayaan itu, Najib berkata, BN bukan sahaja perlu memenuhi janji bahkan mesti memenuhi harapan dan jangkaan rakyat daripada semua aspek seperti pembangunan, kebajikan dan melayani kehendak pengundi kawasan ini.

Perdana Menteri menegaskan, kemenangan BN itu juga bererti pengundi-pengundi menolak cara parti pembangkang berpolitik.

''Maknanya jika menabur fitnah dan pembohongan, pengundi sudah tidak dapat menerimanya lagi kerana mereka sudah tahu untuk membuat penilaian apa yang benar dan apa yang batil," katanya.

Mengenai sokongan pengundi Cina, Najib berkata, BN tidak boleh membuat kesimpulan terlalu cepat sebaliknya akan menganalisa keputusan yang diperoleh.

''Kita kena mengkajinya secara mendalam. Walaupun kita akui banyak peti undi di kawasan masyarakat Cina, BN kalah namun berdasarkan kepada permulaan kempen hingga hari pengundian kita dapati ada peningkatan sokongan.

''Kalau dilihat bermula hari penamaan calon sehingga hari ini, kita dapati ada pertambahan undi tetapi ia belum secara menyeluruh," katanya.

Ditanya faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan BN, beliau berkata, ia terlalu awal untuk ditentukan namun secara jelas membabitkan faktor nasional dan tempatan.

''Dari signifikannya, kejayaan ini memberikan galakan dan satu permulaan yang baik kepada BN untuk meneruskan hala tuju dan agenda baru parti. Saya percaya dengan keputusan ini kita akan teruskan apa yang rakyat mahu," katanya.

Sambil menyifatkan pilihan raya kecil itu menyaksikan persaingan sengit kerana bertanding di negeri yang dikuasai pembangkang, Perdana Menteri berkata, beliau amat berpuas hati dan gembira dengan keputusan yang dicapai serta memberikan galakan untuk meneruskan pembaharuan.

''Saya percaya kalau kita dapat memenuhi janji dan menyelesaikan segala masalah rakyat, insya-Allah majoriti dalam pilihan raya umum akan datang bertambah. Apa yang penting ialah kelangsungan kawasan ini terus berada dalam BN," katanya.

Najib juga menjelaskan, Kamalanathan akan menyenaraikan segala yang dibuat dan memastikan ia dilaksanakan.

Dalam perkembangan yang saya, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN mengucapkan terima kasih kepada jentera BN diketuai Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh parti komponen sama ada di peringkat nasional negeri, bahagian dan cawangan yang menyumbang secara langsung dan tidak langsung kemenangan tersebut.

''Dari segi calon kita, ia adalah calon yang baik kerana personalitinya dapat menawan hati pengundi dan saya yakin Kamalanathan mampu menjadi ahli Parlimen yang disenangi pengundi dan dapat membawa masalah serta isu di Hulu Selangor ke peringkat atasan utnuk diselesaikan," katanya.

0 comments:

Post a Comment