Pages

Ads 468x60px

Monday, April 26, 2010

Supp pilih Robert Lau Junior calon BN di Sibu

KUCHING: Parti Bersatu Rakyat Sarawak (Supp) sebulat suara memilih peguam, Robert Lau Hui Yew sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu akan datang, kata Presidennya, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti semalam, beliau berkata parti bersetuju memilih `Robert Lau Junior’ kerana beliau adalah pilihan terbaik.
Bagaimanapun, Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, sebagai pelan kontinjensi, parti itu juga mempunyai calon pilihan kedua, jika pucuk pimpinan BN berpendapat Hui Yew masih belum mempunyai merit untuk menjadi calon BN. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama calon kedua itu.
Chan berkata, nama kedua-dua calon diserahkan kepada Ketua Menteri, yang juga Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Jumaat lalu untuk diputuskan.

Mengenai peluang Supp mengekalkan kerusi Sibu, katanya, parti itu yakin dapat mengekalkan kemenangan berikutan perpaduan erat dalam kalangan parti komponen BN negeri dan maklum balas positif rakyat pada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui konsep 1Malaysia.

Hui Yew, 45, lebih mesra dikenali sebagai Robert Lau Junior, adalah dua pupu kepada penyandang kerusi Sibu selama lima penggal, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew. Beliau yang sudah menjadi anggota Supp selama 17 tahun adalah Penolong Bendahari Supp cawangan Sibu.
Beliau diuar-uarkan dipilih sebagai calon BN berikutan penyertaan aktif dalam parti dan perwatakannya yang mesra dan mudah didekati, khususnya menyelesaikan masalah penjaja di bandar Sibu.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Mei sebagai penamaan calon dan pengundian pada 16 Mei. – Bernama

0 comments:

Post a Comment