Pages

Ads 468x60px

Friday, April 23, 2010

Pakatan guna masjid untuk ceramah politik

HULU SELANGOR 22 April - Seperti diramalkan, surau dan masjid terus digunakan pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-Pas untuk meraih sokongan daripada pengundi Melayu yang merupakan 53 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar di Hulu Selangor.

Tindakan itu terus dilakukan walaupun terdapat tentangan daripada penduduk di kawasan terbabit kerana muak dengan fitnah dilemparkan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Ini tak betul ni.. mana boleh guna speaker masjid untuk ceramah politik sampai lewat malam," kata Ketua Pemuda UMNO Hulu Selangor Mahmud Karim.

Beliau mendakwa hampir semua masjid utama di Hulu Selangor digunakan untuk kempen politik.

Sementara itu, beberapa penduduk di Kampung Seri Keledang, Hulu Bernam, merungut kerana rumah ibadat orang Islam itu dijadikan wadah kempen pilihan raya kecil Ahad ini oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Padahal Khalid sendiri sebelum ini mengarahkan masjid tidak boleh digunakan bagi tujuan politik apatah lagi untuk berkempen meraih undi.

"Tak sesuai guna masjid untuk kempen politik, sebab nanti ada tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah dan burukkan orang lain," kata peneroka Felda Soeharto, Baharin Arshad, 68, mengulas mengenai perkara itu.

Baharin berkata, beliau khuatir tindakan itu menjatuhkan martabat agama.

Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar sebelum ini turut mendesak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menguatkuasakan titah Sultan Selangor supaya masjid tidak digunakan bagi kepentingan politik.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah baginda pada Oktober tahun lepas mengingatkan pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di negeri Selangor supaya memastikan rumah ibadat itu tidak digunakan sebagai gelanggang politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan ummah.

Namun dalam peringatan itu, beberapa pemimpin besar pakatan seperti Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadualkan menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Kuala Kubu Baru esok, tentunya diselitkan dengan isu politik.

Difahamkan, Pemuda UMNO Batang Kali akan menghantar satu memorandum bantahan kepada JAIS pukul 9.30 pagi esok sebagai tanda protes penggunaan masjid untuk kempen. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment