Pages

Ads 468x60px

Tuesday, April 6, 2010

Program Transformasi Ekonomi akan diumum

PETALING JAYA 5 April - Kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan satu lagi pelan ekonomi iaitu Program Transformasi Ekonomi dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, peranan program yang mirip dengan fungsi Unit Prestasi Pengurusan dan Penyampaian (Pemandu) itu bertujuan menyediakan satu jentera penyampaian lebih berkesan antara pihak awam dan swasta dengan rakyat.

Ujarnya, ia juga merupakan komitmen kerajaan untuk merealisasikan program transformasi iaitu sebahagian daripada elemen penting Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Sehubungan itu langkah pertama yang perlu dilakukan untuk kita menjayakan program ini ialah mendekatkan rakyat dengan kelompok-kelompok tertentu seperti peneraju korporat dan para pelabur.

"Saya percaya melalui pendekatan ini, rakyat, peneraju korporat serta para pelabur boleh bersama-sama mencetuskan idea dan kemudian memberi sumbangan dalam bentuk input terutama dalam membentuk satu-satu dasar atau polisi kerajaan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Forum Pemimpin ASEAN Axiata kali ketujuh yang bertemakan Transformasi ASEAN, Menuju Ke Hadapan di sini, hari ini.

Forum tiga hari itu dianjurkan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI).

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi ASLI, Tan Sri Jeffrey Cheah dan Ketua Pegawai Eksekutif ASLI, Datuk Michael Yeoh.

Sejak setahun Najib memegang tampuk pemerintahan negara, beliau telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat sekali gus meletakkan negara pada kedudukan yang lebih baik.

Antaranya mengumumkan pelaksanaan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Pelan Halatuju Transformasi Kerajaan (GTP) dan terbaru Model Ekonomi Baru (MEB).

Najib berkata, langkah memperkenalkan program tersebut adalah sejajar dengan pendiriannya sebelum ini iaitu "era kerajaan tahu segala-galanya" telah tamat.

"Sekarang merupakan zaman yang mana kerajaan perlu mendapatkan input daripada pihak-pihak yang berkepentingan di negara ini,'' katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai pentingnya seseorang pemimpin itu melakukan transformasi walaupun diakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

"Sebagai pemimpin kita harus percaya bahawa hanya melalui kepimpinan secara transformasi sahaja yang dapat melakukan perubahan meskipun diakui ia bukannya satu perkara yang mudah.

"Kita perlu tahu apakah visi, misi dan matlamat kita dan dalam masa yang sama setiap perancangan hendaklah dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira setiap strategi yang digunakan,'' katanya.

Beliau berkata, ia penting supaya setiap transformasi yang dirancangkan mampu dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Dalam konteks rantau ASEAN, Najib berkata, ia tidak terkecuali melalui proses transformasi khususnya dalam meningkatkan hubungan antara negara-negara anggota.

"Atas sebab ini juga pemimpin negara ASEAN telah memberi tumpuan kepada usaha merapatkan hubungan antara negara anggota pada sidang kemuncaknya yang lalu di Thailand.

"Hanya melalui hubungan rapat sahaja yang boleh menjadikan semua negara anggota ASEAN meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang antaranya pelancongan dan pertukaran kebudayaan,'' katanya.

Sebagai tambahan, Perdana Menteri berkata, ASEAN juga harus meningkatkan hubungan dengan negara luar seperti Kesatuan Eropah (EU), Jepun, China, Korea, India dan Amerika Syarikat (AS) kerana ia boleh membantu rantau itu untuk maju dalam pelbagai bidang.

0 comments:

Post a Comment