Pages

Ads 468x60px

Tuesday, July 13, 2010

Sarawak terima RM40 juta bantu keluarga miskin

KUCHING 12 Julai - Sarawak menerima peruntukan RM40 juta daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi melaksanakan Program 1Azam khusus untuk meningkatkan taraf hidup keluarga miskin di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, seramai 24,313 ketua isi rumah (KIR) miskin dan miskin tegar di Sarawak yang berdaftar di bawah senarai e-Kasih akan mendapat manfaat hasil pelaksanaan program itu.

Menurutnya, pelaksanaan program 1Azam kepada 24,313 KIR miskin dan miskin tegar itu baru memasuki fasa pertama dan akan diteruskan kepada fasa kedua tidak lama lagi kerana senarai e-Kasih masih tidak lagi lengkap.

''Kita sebagai kerajaan mesti membantu mengeluarkan mereka (keluarga miskin) daripada kepompong kemiskinan.

''Saya percaya lebih ramai lagi yang tergolong dalam keluarga miskin memerlukan bantuan ini dan kita akan teruskan pelaksanaannya untuk fasa kedua tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyerahan cek pelaksanaan Program 1Azam berjumlah RM40 juta kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohd. Asfia Awang Nassar dan menteri-menteri Kabinet negeri.

Dalam pada itu, Shahrizat semasa ucapannya memberitahu, kerjasama membabitkan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan pelaksanaan Program 1Azam berjalan lancar di Sarawak kerana ia bukannya suatu kerja yang mudah.

Katanya, menerusi Program 1Azam yang merangkumi Azam Tani; Azam Niaga; Azam Khidmat dan Azam Kerja, KIR yang terlibat boleh menjana pendapatan dan meningkatkan kemahiran sehingga mampu keluar daripada kepompong kemiskinan.

''Saya melihat potensi tinggi bagi memperluaskan Program 1Azam di Sarawak adalah menerusi projek Azam Khidmat dan Azam Niaga berdasarkan pelbagai kemahiran yang dimiliki penduduk negeri ini.

''Menjelang awal 2011, diharapkan 1Azam ini dapat membantu meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah sekali gus mencapai hasrat kerajaan negeri membasmi kemiskinan di Sarawak," jelas beliau.

Sementara itu, Shahrizat memberitahu, setakat Julai tahun ini sebanyak 14,416 KIR miskin dan 9,897 KIR miskin tegar berdaftar di bawah e-Kasih berdaftar di Sarawak.

0 comments:

Post a Comment