Pages

Ads 468x60px

Wednesday, August 5, 2009

El Nino: Hampir 18,000 penduduk S’wak hadapi krisis bekalan air bersih

KUCHING: Hampir 18,000 penduduk di lapan bahagian negeri ini menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih berikutan musim kemarau akibat fenomena El Nino yang berlaku ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan yang memberitahu perkara itu kepada pemberita dalam sidang media semalam berkata lapan bahagian terbabit ialah Kuching, Bintulu, Sarikei, Betong, Samarahan, Mukah, Miri dan Limbang yang melibatkan sekurang-kurangnya 109 kawasan.

Bagaimanapun Dr Chan berkata setakat ini bahagian Mukah terjejas teruk dengan 6,062 penduduk daripada 1,019 keluarga tiada bekalan air.

Menurutnya, kawasan terjejas teruk itu kebanyakannya terletak di pesisir pantai Belawai yang sering mengalami kemarau setiap tahun dan beberapa sekolah di situ turut menghadapi masalah sama.

“Keadaan dijangka akan bertambah buruk dalam tempoh dua bulan dari sekarang berikutan fenomena El Nino yang dijangka sehingga penghujung September atau awal Oktober ini menyebabkan cuaca kering berlaku sekurang-kurangnya selama dua minggu.

“Tambahan jumlah taburan hujan di negeri ini juga akan berkurangan antara 20 hingga 40 peratus daripada jumlah normal,” jelasnya.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteriberkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kebajikan Negeri kini giat mengagihkan bekalan air bersih terutama air minuman kepada penduduk terjejas.

“Sehingga hari ini (semalam) kerajaan telah membelanjakan RM100,279 untuk menghantar air ke kawasan-kawasan dikenal pasti,” katanya sambil mengakui untuk menghantar bekalan air ke kawasan berkenaan adalah tidak mudah kerana terpaksa melalui jalan air.

Bagi mengatasi masalah pengangkutan air ke kawasan-kawasan berkenaan kerajaan akan meminta bantuan daripada sektor swasta yang menyediakan perkhidmatan tangki air.

Sehubungan itu kata, Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri akan bermesyuarat dengan agensi-agensi kerajaan terlibat serta sektor swasta yang sudah dikenal pasti minggu depan bagi memastikan penghantaran bekalan air bersih dapat dibuat dengan segera.

Dalam sidang media itu juga Dr Chan memaklumkan pembenihan awan menggunakan teknologi terkini akan mula dilakukan Isnin depan dengan kawasan-kawasan tadahan air seperti di Sungai Sarawak Kiri dan di Sarikei menjadi tumpuan.

“Pembenihan awan memerlukan kos yang mahal tetapi kita perlu melakukannya untuk mendapatkan hujan. Ini kerana simpanan air di Empangan Gerugu Sarikei khasnya dijangka mencukupi hanya untuk tempoh dua minggu (dari sekarang).

“Empangan Gerugu hanya mempunyai keupayaan menyimpan stok air bagi tempoh dua bulan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment