Pages

Ads 468x60px

Monday, August 3, 2009

Kaum Penan dinasihat pindah ke lokasi baru

BETONG 2 Ogos - Kerajaan akan membantu lebih 3,000 kaum Penan melaksanakan projek pertanian di penempatan baru mereka bagi mengelak masalah kekurangan makanan berulang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, sehubungan itu kaum Penan di enam penempatan di Hulu Rejang, Belaga di sini dinasihatkan berpindah ke lokasi baru.

Menurutnya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mereka berpindah ke lokasi baru yang tersedia dengan tapak penanaman kebun memandangkan kawasan tanaman mereka kini berdepan ancaman haiwan liar.

''Namun urusan penyediaan kawasan penempatan baru untuk kaum Penan yang terjejas akibat masalah kekurangan bekalan makanan ini terletak di bawah kuasa kerajaan negeri dan saya hanya mencadangkannya sahaja," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kios AgroBank Pusa dan Penyerahan Wang Zakat AgroBank di Pusa dekat sini kelmarin.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun mendedahkan kaum Penan di enam penempatan di Hulu Rejang, Belaga, mengalami kebuluran makanan sejak tiga bulan lalu selepas tanaman padi, satu-satunya sumber makanan mereka dimusnahkan monyet.

Menurutnya, lima penempatan paling kritikal adalah Long Abit, Long Kajang, Long Tanyit, Long Malim dan Long Ladin diikuti Lusong Laku membabitkan 264 buah keluarga.

Menurutnya, masalah kebuluran dijangka berlarutan sehingga musim menanam padi yang baru pada Februari tahun hadapan.

Ketika ini, penduduk Penan di kawasan terbabit terpaksa bergantung hidup dengan memakan ubi kayu dan linut iaitu sejenis makanan daripada tepung sagu selain tumbuhan liar.

Dalam pada itu, Rohani berkata, kementeriannya bersedia membantu agensi-agensi kerajaan bagi menangani masalah kekurangan bekalan makanan yang melanda kaum Penan itu.

Kata beliau, pihaknya juga boleh menghulurkan bantuan makanan seperti beras, gula dan sebagainya kepada penduduk yang terbabit.

''Bagaimanapun kementerian tidak ada kuasa untuk menangani ancaman haiwan liar terutamanya monyet yang merosakkan tanaman mereka selama ini kerana ia terletak di bawah kuasa Jabatan Taman Negara dan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan)," ujarnya.

Terdahulu, Rohani pada majlis itu menyampaikan wang zakat Agrobank berjumlah RM16,000 kepada 100 penduduk, dua buah sekolah, dua buah surau dan sebuah masjid di Pusa.

0 comments:

Post a Comment