Pages

Ads 468x60px

Thursday, August 6, 2009

2,000 penduduk nikmati bekalan elektrik

SRI AMAN 5 Ogos - Kira-kira 2,000 penduduk dari rumah panjang dan rumah persendirian di kawasan Ran dan Punggu, Lachau di sini telah mula menikmati kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) sejak seminggu lalu.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata, penduduk yang menerima kemudahan BELB ini adalah mereka yang telah memasang meter elektrik di kediaman masing-masing sebelum ini.

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat sesetengah kawasan yang masih belum lagi menerima bekalan elektrik menerusi kemudahan BELB ini termasuk dari Rumah Randi, Lachau.

''Kawasan tersebut masih belum dapat menerima kemudahan BELB kerana para penduduknya belum memasang meter elektrik di kediaman masing-masing," katanya ketika kepada pemberita di sini hari ini.

Kujat memberitahu, kesemua penduduk di kawasan Ran dan Punggu, Lachau akan menerima bekalan elektrik menerusi program BELB itu apabila proses pemasangan meter siap sepenuhnya menjelang Oktober ini.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya penduduk yang telah menerima bekalan elektrik BELB mengambil peluang untuk mempertingkatkan taraf hidup masing-masing menerusi penyediaan kemudahan seumpama itu.

''Harapan saya ialah projek BELB ini nanti dapat mengubah taraf hidup mereka ke satu peringkat yang lebih tinggi daripada sekarang kerana tiada lagi pergantungan terhadap bekalan elektrik dari enjin janakuasa selepas adanya bekalan elektrik 24 jam ini," katanya.

Terdahulu, projek kemudahan BELB Fasa I yang dilaksanakan kerajaan menerusi syarikat Shorefield Sdn. Bhd. di ketiga-tiga kawasan berkenaan telah menelan kos kira-kira RM5.7 juta.

Sekiranya projek perlaksaan kemudahan BELB Fasa I siap, maka projek BELB Fasa II dijangka menyusul dengan membabitkan kawasan dari Pekan Lachau atau Keranggas Gayau hingga ke kawasan Abok.

0 comments:

Post a Comment