Pages

Ads 468x60px

Thursday, October 29, 2009

JKKK rumah panjang diminta tubuh tabung

SRI AMAN 28 Okt. – Setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini dinasihatkan supaya mewujudkan tabung pendidikan khas untuk anak-anak di kampung masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong Dagang berkata, penubuhan tabung pendidikan itu amat berguna sekiranya terdapat anak-anak dari rumah panjang berkenaan yang berjaya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, penubuhan tabung itu juga dapat membantu meringankan beban ibu bapa yang mungkin bukan berasal dari golongan berkemampuan.

‘‘Mereka yang berjaya dalam bidang pengajian masing-masing hasil bantuan tabung pendidikan itu nanti sudah semestinya akan membawa perubahan dalam meningkatkan taraf hidup penduduk rumah panjang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam 2009 anjuran JKKK Rumah Panjang Musa Lutang, Kampung Sutong bertempat di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Mong bagaimanapun mengingatkan, setiap ahli JKKK seharusnya berfikiran positif dengan tidak menganggap penubuhan tabung itu hanya memberi kesenangan kepada anak-anak ahli yang hanya berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Ujarnya, setiap ibu bapa akan mendapat manfaat daripada penubuhan tabung berkenaan dan tidak ada yang terkecuali.

0 comments:

Post a Comment