Pages

Ads 468x60px

Tuesday, October 27, 2009

Projek Gedong-Simunjan

KUCHING 26 Okt. - Pengumuman pembinaan jalan raya yang menghubungkan Jalan Gedong-Simunjan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2010 Jumaat lalu mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi penduduk di kawasan Simunjan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Mohd. Naroden Majais berkata, ia merupakan berita gembira kepada lebih 30,000 penduduk yang telah lama menanti supaya dapat dibina sebuah jalan berturap di kawasan berkenaan.

Menurutnya, projek bernilai RM120 juta dan sepanjang 20 kilometer itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan pakej pertamanya membabitkan peruntukan sebanyak RM45 juta.

''Dengan kemudahan jalan berturap itu, saya percaya, aktiviti ekonomi bagi penduduk Simunjan akan bertambah rancak dan ia merupakan berita gembira bagi lebih 30,000 penduduk di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai Bajet 2010 yang diumumkan Najib Jumaat lalu.

Mohd. Naroden yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) memberitahu, Bajet 2010 juga memberi banyak peluang kepada usahawan bumiputera di negeri ini untuk meningkatkan perniagaan mereka.

Ujarnya, faktor seperti pengurangan cukai pendapatan serta bantuan pinjaman yang disediakan kerajaan dapat membantu para usahawan memajukan perniagaan masing-masing.

''Kita juga turut berpuas hati kerana setakat ini penglibatan usahawan bumiputera semakin hari menunjukkan peningkatan yang menggalakkan," tambah beliau.

0 comments:

Post a Comment