Pages

Ads 468x60px

Monday, March 8, 2010

Penan dibantu dapat MyKad

LONG MAKABAR (Ulu Baram): Masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri di lima perkampungan di Ulu Baram termasuk empat penempatan Penan dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan.

Ketua Unit Khas Bergerak (UKB) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bahagian Miri Mohd Syafiee Mohamad Ariffin berkata, empat penempatan Penan itu ialah Long Jekitan, Long Jee, Long Tikan dan Ba Purau serta perkampungan Kenyah di Long Makabar.

Beliau berkata, sebanyak 281 permohonan diterima dan daripada jumlah itu permohonan daftar lewat pendaftaran MyKad (65), daftar lewat kelahiran (142), pendaftaran 12 tahun (15), gantian (23), cabutan sijil lahir (33) dan selebihnya permohonan ketiadaan MyKad dan kematian.

“Bagi Long Jekitan, Long Tikan dan Long Jee kita menerima 183 permohonan, Ba Purau 72 diikuti Long Makabar 26 permohonan.

“Bagi permohonan kelahiran lewat, 12 tahun dan gantian, kita akan hantar semula kepada mereka selewat-lewatnya Jun tahun ini manakala permohonan pendaftaran lewat MyKad mengambil masa lebih lama,” katanya kelmarin.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Long Makabar selepas mengetuai Operasi Pendaftaran Bergerak UKB JPN Bahagian Miri ke Long Jekitan, Ba Purau dan Long Makabar yang bermula 27 Februari hingga 4 Mac lalu.

Ujar Syafiee, selepas operasi serahan itu, JPN akan mengadakan kaunter bergerak dua bulan sekali seperti di Bario dan Long San.

“Kaunter bergerak bagi menyelesaikan permohonan seperti kelahiran baru, gantian MyKad hilang juga akan diwujudkan.

“Ini bagi memudahkan penduduk di Baram agar tidak perlu turun ke Marudi atau Miri,” katanya.

Mengulas operasi itu, beliau berkata ia dilaksanakan dengan kerjasama Unit Mahkamah Bergerak Miri, polis dan media tempatan bagi menyahut seruan kerajaan untuk menyelesaikan masalah ketiadaan dokumen khususnya di kawasan Baram.

“Kita diberi masa dua tahun untuk menyelesaikan masalah penduduk tiada dokumen dan setahun menyelesaikan yang ada sijil lahir tetapi tiada MyKad.

“Justeru kita terpaksa ubah pendekatan operasi iaitu dari kampung ke satu kampung berbanding sebelum ini satu pusat operasi,” katanya.

Tambahnya, operasi yang sama akan diadakan di penempatan Penan di Batu Bungan dan Long Iman di Mulu diikuti Long Adang di Limbang serta operasi serahan dokumen pengenalan di enam kampung di sekitar Long Kevok.

Sementara itu, Majistret Mahkamah Miri Muhamad Safuan Azhar berkata, kerjasama ini membantu mempercepatkan permohonan untuk mendapatkan dokumen pengenalan terutama di daerah Baram yang masih kritikal.

“Terdapat beberapa kes seorang penduduk Penan mempunyai identiti berbeza dalam dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir dan kad kesihatan.

“Selain itu, terdapat kes penipuan identiti di mana rakyat asing yang berkahwin dengan penduduk tempatan mengambil kesempatan itu untuk memohon kerakyatan selain mendakwa mereka penduduk asal,” katanya.

Bukan itu sahaja menurut Safuan, baru-baru ini terdapat kes di mana enam warga asing terdiri daripada empat warga Pakistan dan dua Indonesia (Bugis) telah mengemukakan permohonan untuk diiktiraf sebagai rakyat tempatan.

“Kes ini berlaku masing-masing melibatkan dua lelaki Pakistan yang memohon kerakyatan di Long Sayan, dua lagi warga Pakistan di Long Kevok dan dua warga Indonesia di Long Latei, Baram.

“Setakat ini belum ada tindakan diambil, namun saya difahamkan jabatan terbabit akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Monday, March 1, 2010

Perintah patut mendingka penemu rayat

Ari nya, sida nemu penusah ke nuntung rayat kelebih agi sida ke diau ba menua pesisir

KUCHING: Perintah patut meri peluang sereta ninga penemu rayat ngambika nemu peminta rayat, lalu berindik ari nya perintah ulih meri bantu kelebih agi ngagai sida ke diau ba menua pesisir, pia ku Tuai Indu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Senator Dato Sri Empiang Jabu.

Nitihka padah iya, diatu rayat menua pesisir ba Sarawak agi tinggai ari belakang nya alai iya minta perintah Barisan Nasional (BN) terus majak numbuhka pemansang infrastruktur baka Tadika, Klinik sereta Palan Pengelandik Jari kelimpah ti meri ai beresi, elektrik, ICT enggau ke bukai.

“Berindik ari tuju ati perintah ke bisi tanggung pengawa sereta ngereja pengawa enggau tampak, tuju kitai deka ‘mentransformasi’ rayat kena nyapai penatai pemisi (ekonomi) ke tinggi,” ku iya madah lebuh ke bejaku ba pengawa gempuru PBB ditu kemari.

“Tu disukung nengah ‘Dasar Pimpinan Politik Pembangunan’ ke diatu ti meri pemansang ba menua Sarawak baka nengah Koridor Kuasa Tau Diguna Baru Sarawak (SCORE),Halal Hub ba Tanjung Manis, Rurak Growth Centres (RGCs), program ngemunaska penyeranta enggau ke bukai,” ku iya.

Empiang ngarapka perintah BN menua terus meri pemansang ba Sarawak lalu meri ungkup ba belanja nengah Atur Pemansang Malaysia Lumpar Kesepuluh (RMKe-10) enggau RMKe-11 kena ngatur mayuh macham projek ba menua pesisir.

Tu meri peluang ngagai rayat menua pesisir kelebih agi ba menua Sarawak ke mayuh bansa Bumiputera ke agi tinggal jauh ari segi ekonomi, sekula tauka pelajar, ICT enggau infrastruktur ke bukai,” ku iya

Fairus keluar PKR sertai UMNO

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima satu lagi tamparan apabila bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin mengumumkan keluar parti itu dan menyertai UMNO.

Beliau membuat pengumuman itu sewaktu berucap di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis perjumpaan kepimpinan tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) di sini malam ini.

Menurut Mohammad Fairus, keputusan itu dibuat kerana beliau sudah hilang kepercayaan terhadap PKR dan perasaan itu semakin memuncak berikutan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Katanya, sebelum membuat pengumuman pada malam ini, beliau telah melakukan solat sunat istikharah selama tiga bulan bagi mencari kepastian.

Menurutnya, ini kerana melalui proses itu beliau telah berjaya mendapat petunjuk jelas mengenai keperluannya meninggalkan PKR.

"Dengan lafaz 'bismillahirrahmanirrahim,' saya dengan ini atas dasar mempertahankan prinsip memperjuangkan agama, bangsa, tanah air serta kepentingan rakyat Malaysia, saya mengumumkan penyertaan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Dengan sendirinya (saya) keluar PKR atas dasar hilang kepercayaan terhadap parti tersebut. Insya-Allah saya berdoa agar diberi kekuatan serta bimbingan dalam urusan perjuangan menggunakan wadah baru ini," katanya.

Mohammad Fairus memberitahu, keputusan itu juga didorong oleh dua prinsip peribadinya yang tidak akan dikompromi selama-lamanya.

Katanya, prinsip itu ialah sentiasa membela kedaulatan dan ketinggian Islam serta kedaulatan bangsa yang tidak akan sesekali diperkotak-katikkan.

Tegasnya, beliau juga telah membuktikan kata-katanya dengan melepaskan semua perkara yang berkaitan kepentingan dirinya.

Pada April tahun lalu, Fairus yang merupakan ADUN Penanti meletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri dan juga mengosongkan kerusinya.

Sementara itu, Najib berkata, keputusan Mohammad Fairus menyertai UMNO adalah sesuatu yang bersejarah kepada parti itu.

Perdana Menteri berkata, ini memandangkan beliau pernah menyandang jawatan penting dalam pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau yakin penyertaan Mohammad Fairus ke dalam UMNO akan membolehkannya memberi sumbangan besar kepada perjuangan parti bagi membela bangsa dan agama.

"Saya atas nama Presiden UMNO menyatakan kami terima anak muda ini dengan senang hati kerana saya tahu saudara Mohammad Fairus ambil keputusan ini atas dasar prinsip dan bukannya bagi mendapatkan jawatan dan ganjaran," katanya.

Menurut Najib, beliau telah meneliti ucapan Mohammad Fairus pada malam itu dan mendapati ia sangat bernas, mantap dan bersemangat.

"Saya amati ucapannya dan saya dapati dia sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR yang didapatinya tidak lagi mempertahankan soal-soal prinsip yang dipegang olehnya.

"Ini melibatkan soal martabat dan maruah bangsa serta agama Islam. Oleh itu, anak muda ini pada hari ini, saya isytiharkan bahawa dia kini sama-sama berada dalam kalangan parti UMNO," katanya.

Malam ini, Najib dianugerahkan Anugerah Sandang Mahkota Agung Seri Pelangi Sakti PSSGM kerana sokongannya kepada pertubuhan silat itu.

Thursday, February 25, 2010

Kerajaan tak ambil tanah rakyat

SRI AMAN 23 Feb. - Kerajaan tidak pernah sama sekali mengambil alih tanah rakyat di negeri ini meskipun surat hak milik tanah mereka tamat tempoh.

Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak, Mohd. Naroden Majais berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan sengaja disebarkan oleh pihak tertentu bagi mengurangkan pengaruh kerajaan terhadap rakyat.

Menurutnya, isu seumpama itu cuba digunakan oleh pihak berkenaan bagi memburuk-burukkan kerajaan untuk menarik perhatian rakyat menjelang pilihan raya negeri akan datang.

''Itu bukan dasar kerajaan negeri untuk mengambil alih tanah rakyat sekiranya surat hak milik tanah mereka tamat tempoh seperti yang didakwa oleh pihak tertentu pada masa ini.

''Kerajaan sebaliknya telah bertimbang rasa dengan rakyat sebelum ini dengan membenarkan mereka memperbaharui surat hak milik tanah tanpa mengira waktu di samping bayaran premium tanah secara ansuran," katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan berucap merasmikan Majlis Penyampaian Cek Pampasan Dan Surat Hakmilik Tanah di Dewan Suarah Sri Aman di sini hari ini.

Dalam pada itau, Mohd. Naroden berkata, surat hak milik tanah rakyat mungkin tidak akan diperbaharui semula sekiranya tanah terbabit termaktub dalam rancangan pembangunan kerajaan selepas ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menggunakan saluran atau prosedur yang sah terhadap tanah rakyat yang termaktub dalam rancangan pembangunan kerajaan untuk pembayaran wang pampasan kepada pemilik itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mendengar serta terpengaruh dengan hasutan pihak lain berhubung isu berkenaan.

''Rakyat terutamanya pemilik tanah harus berpandangan lebih jauh untuk menentukan masa depan ekonomi dan pendidikan keluarga masing-masing selepas ini.

''Keselesaan hidup rakyat akan dapat dicapai sekiranya projek pembangunan dilaksanakan berdekatan dengan penempatan rakyat iaitu di atas tanah milik mereka," ujarnya.

Pada majlis yang sama, Mohd. Naroden telah menyampaikan cek pampasan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM430,171.89 kepada 46 orang penerima dan surat hakmilik tanah kepada 77 orang.

Tuesday, February 23, 2010

RM3.4 bilion untuk Sarawak

SRI AMAN 22 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghargai kepentingan Sarawak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur di negeri itu terutamanya untuk penduduk pedalaman yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2012.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Pusat menyediakan pelan perancangan dan kaedah pelaksanaan yang rapi untuk mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) dari segi pembangunan prasarana seperti bekalan elektrik, air bersih, pembinaan jalan raya dan rumah orang miskin di luar bandar di pedalaman Sarawak.

‘‘Tujuan saya datang (ke Sarawak) antaranya untuk melihat kejayaan yang telah kita lakukan serta untuk memberi komitmen dan keyakinan bahawa banyak lagi projek luar bandar akan kita laksanakan seperti akujanji kita kepada rakyat Sarawak di bawah konsep Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) terutama sekali melibatkan pembangunan prasarana luar bandar,” kata beliau.

Beliau menambah kerajaan begitu komited untuk meningkatkan keperluan prasarana di bawah NKRA pembangunan prasarana yang boleh dilihat melalui peruntukan kerajaan sebanyak RM3.4 bilion itu.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar bernilai RM5.8 juta di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Najib berkata, laporan tentang program pembangunan prasarana itu akan dikeluarkan apabila tiba masanya kerana ada daripada projek tersebut sedang dalam pelaksanaan untuk faedah rakyat yang menaruh kepercayaan kepada kerajaan sedia ada.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, apa yang dilakukan kini adalah untuk meneruskan kesinambungan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam menyediakan kemudahan untuk rakyat.

Dalam hal itu kata beliau, apa yang dekat pada hatinya ialah mengenai pembangunan luar bandar kerana terpengaruh dengan sifat ayahnya, Allahyarham Tun Abdul Razak yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Malaysia.

‘‘Allahyarham ayah saya berjalan beribu-ribu batu, beliau pernah pergi ke Kampung Pichin pada tahun 1966 dan saya juga telah ke sana pada tahun lepas. Saya tidak tahu macam mana ayah saya boleh sampai ketika itu,” kata beliau.

Najib memberitahu, salah satu misi yang dekat di hatinya dan ingin diselesaikan ialah agenda pembangunan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

Turut mendapat perhatian beliau dalam ucapannya ialah mengenai janji pembangkang yang disifatkan sebagai janji ‘orang yang belum mendapat kuasa.’

‘‘Jangan ikut pembangkang yang datang bermusim. Bila orang tiada kuasa mudah untuk mereka menabur janji,” katanya.

Najib berkata, pembangkang kini mengalami sindrom tidak percaya kepada pemimpin atasan yang banyak berlaku di Semenanjung dan apabila pemimpin atasan tidak dipercayai lagi, ia sudah tentu akan memberi kesan kepercayaan rakyat kepada parti pembangkang.