Pages

Ads 468x60px

Friday, July 31, 2009

Pak Lah ikrar terus berkhidmat dalam Umno

KEPALA BATAS: Tun Abdullah Ahmad Badawi malam tadi, berikrar akan terus berkhidmat dalam Umno kerana parti itu berkemampuan membangunkan negara.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, beliau akan terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dengan menggunakan platform Umno.

"Umno sejak dulu lagi sudah terbukti mampu membantu rakyat dengan pelbagai bantuan serta pembangunan yang berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat."Sehubungan itu, saya akan teruskan perjuangan ini (membantu rakyat) walaupun tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan kerana perjuangan ini adalah ibadat.

"Saya akan berpegang kepada pendirian itu dan ia (perjuangan) akan dilakukan menerusi Umno," katanya pada majlis tahlil dan meraikan persaraannya di Majid Al-Jamiul Badawi di sini, malam tadi.

Hadir sama, isterinya, Tun Jeanne Abdullah.

Ucapannya itu seolah-olah menjawab pelawaan Ahli Jawatankuasa Pusat Pas, Mohamad Sabu, Ahad lalu yang mempelawa Abdullah menyertai parti itu kerana mendukung aspirasi sama untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ini bukan kali pertama pihak Pakatan Rakyat mempelawa tokoh dari Umno menyertai mereka dengan sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mempelawa bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas Presiden Semangat 46.

Bagaimanapun, pelawaan berkenaan ditolak Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Dalam ucapannya, Abdullah turut menyatakan penghargaan terhadap pelbagai sokongan diterima daripada rakyat terutama daripada penduduk Kepala Batas.

"Tanpa sokongan anda semua, saya tidak mampu menjalankan tugas dengan baik," katanya.


0 comments:

Post a Comment