Pages

Ads 468x60px

Wednesday, July 29, 2009

HADI DIDESAK MOHON MAAF

PRS hantar surat minta Presiden PAS itu memohon maaf kepada kaum Dayak

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan menghantar surat meminta Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon maaf kepada komuniti Dayak berhubung isu cawat.

Presiden PRS Dato Sri Dr James Masing ketika dihubungi semalam berkata surat yang ditandatangani oleh 13 wakil rakyat daripada PRS itu dihantar hari ini.

Surat itu merupakan rentetan kenyataan Abdul Hadi mengaitkan kekalahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai di tangan Barisan Nasional (BN) kerana para pengundi di situ masih ‘memakai cawat’.

Antara lain, kandungan surat itu berbunyi:

“Kami mahu permohonan maaf kepada Dayak di Sarawak secara amnya, dan Iban di Batang Ai khususnya dan kami menyarankan agar anda (Abdul Hadi) datang ke sini untuk melawat rumah panjang Iban di Sarawak.”

NST Online semalam melaporkan Abdul Hadi mengaku menggunakan perkataan ‘cawat’ tetapi tidak berniat untuk menjatuhkan maruah masyarakat Dayak.

Sehubungan itu, Masing berkata para pemimpin Pakatan Rakyat khususnya berketurunan Dayak yang memberi reaksi terhadap isu berkenaan disifatkannya sebagai ‘tipikal’.

Tipikal kerana kenyataan mereka senada yang jelas mempertahankan Abdul Hadi meskipun hakikatnya mereka terguris.

Masing seterusnya dalam mempertahankan keputusan para pengundi di Batang Ai berkata mereka adalah bijak kerana memilih organisasi politik yang mempunyai kredibiliti seumpama BN.

“Mereka bijak kerana tidak memilih calon daripada parti pembangkang yang sudah diketahui akan gagal mengotakan janji,” katanya.

Abdul Hadi dipetik menerusi portal berita Malaysiakini pada 11 Julai lepas dengan menyatakan para pengundi di Batang Ai yang majoritinya adalah berketurunan Iban, tidak tahu mengundi.

Beliau dipetik sebagai berkata: “Semua pilihan raya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita. Cuma di Batang Ai sahaja kita kalah sebab mereka ini tidak reti undi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina tetapi tempat yang pakai molek, undi PAS.”

Dalam pilihan raya kecil DUN Batang Ai 7 April lepas, Jawah Gerang daripada PKR tewas di tangan Malcolm Mussen Lamoh daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS). Mussen memperoleh majoriti 1,854 undi.

0 comments:

Post a Comment