Pages

Ads 468x60px

Wednesday, August 12, 2009

Sebarkan polisi kerajaan

Agensi kerajaan serta NGO harus bekerjasama dalam meningkatkan pengetahuan rakyat terhadap perkara itu

KUCHING: Kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting dalam usaha meningkatkan lagi pengetahuan rakyat khususnya masyarakat luar bandar terhadap polisi-polisi kerajaan.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Malaysia Datuk Fuad Tan Sri Hassan berkata kerjasama antara kedua-dua agensi tersebut bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan masyarakat, malah mengeratkan lagi perpaduan semua kaum.

“Walaupun NGO tidak mempunyai sumber kewangan dan kekuasaan yang besar namun ia telah banyak menyumbang kepada pembangunan masyarakat dengan usaha sendiri.

“Melalui kerjasama erat antara agensi-agensi kerajaan dengan NGO dalam melaksanakan segala program atau aktiviti, saya pasti ia akan membawa kesan positif kepada pembangunan masyarakat dan kerajaan amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis makan tengah hari antara JASA dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan NGO-NGO sempena lawatannya di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PERKIM Cawangan Kuching Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi dan Pengarah JASA Cawangan Sarawak Jemat Lihi.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agensi-agensi kerajaan dan NGO agar menjalankan lebih banyak aktiviti dan program khususnya di luar bandar.

“Melalui penganjuran aktiviti dan program dengan kerap khususnya di luar bandar, masyarakat akan terdedah dengan pelbagai maklumat penting dan ini akan membantu mereka berfikiran lebih matang dalam membuat keputusan,” katanya.

Menurutnya masyarakat yang bermaklumat dan berfikiran matang adalah penyumbang kepada kemakmuran dan perpaduan sesebuah negeri.

Katanya, Sarawak merupakan negeri yang aman, stabil, selesa dan semuanya terkawal, malah masyarakatnya yang pelbagai kaum juga saling hormat-menghormati.

Walaupun begitu, beliau berkata masyarakat Sarawak harus sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak tertentu yang mungkin mensasarkan Sarawak untuk bertapak dan kemudiannya menimbulkan persengketaan di kalangan masyarakatnya.

“Masyarakat Sarawak harus sentiasa berwaspada kerana mungkin ada pihak tertentu yang akan mengganggu ketenangan di sini atas nama demokrasi, kebebasan bersuara, membangkitkan sentimen perkauman dan sebagainya, yang menyumbang kepada perpecahan kaum.

“Maka itu, kerjasama agensi-agensi kerajaan dengan NGO amat penting dalam menyediakan masyarakat berpengetahuan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini ini berlaku,” katanya.

0 comments:

Post a Comment