Pages

Ads 468x60px

Thursday, August 13, 2009

4 nama disebut bakal calon BN

BUKIT MERTAJAM 12 Ogos - Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizad Othman adalah antara yang disebut-sebut akan menggalas tugas sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini.

Selain Rohaizad, turut disebut-sebut untuk dipilih sebagai calon ialah Naib Ketua bahagian itu, Abdul Rahim Man dan Ketua Pemudanya, Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Ahmad Saad juga antara yang disebut-sebut untuk dicalonkan semula.

Utusan Malaysia bagaimanapun difahamkan, Badan Perhubungan UMNO negeri dan bahagian mahukan orang muda daripada golongan profesional diberi peluang untuk menggalas tugas sebagai calon BN dalam pilihan raya kali ini.

Rohaizad, 38, adalah seorang peguam dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian selama lapan tahun, manakala Mohd. Zaidi, 40, pula merupakan bekas guru dan menjadi Ketua Pemuda bahagian sejak tahun 2004.

Abdul Rahim, 60, dan Ahmad Saad, 58, pula merupakan antara pemimpin paling berpengalaman di peringkat bahagian dan pernah disenarai pendek untuk dicalonkan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid mengesahkan terdapat sekurang-kurangnya empat calon sedang diteliti untuk menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk menentukan siapa calon yang dipilih kelak.

Katanya lagi, calon-calon yang disenaraikan itu adalah dari Permatang Pauh dan berumur lingkungan 40 hingga 60 tahun.

''Calonnya adalah daripada golongan profesional, mampu berkhidmat, diterima masyarakat, mempunyai ramai kenalan di kawasan itu (Permatang Pasir) dan anak tempatan Permatang Pauh," katanya.

Abdul Jalil berkata, nama calon BN dijangka diumumkan pada pukul 4 petang, Jumaat ini di Permatang Pasir serentak dengan majlis pelancaran jentera pilihan raya BN.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman, 63, dari Pas akibat sakit jantung pada 31 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohd. Hamdan memperoleh 11,004 undi menewaskan calon BN, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

0 comments:

Post a Comment