Pages

Ads 468x60px

Wednesday, August 12, 2009

SIMC bakal jadi HUS kedua

Ia akan beroperasi sebaik sahaja k’jaan pusat sedia ambil alih

KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) yang kedua akan beroperasi sepenuhnya sebaik sahaja kerajaan pusat bersedia mengambil alih sebuah hospital swasta yang sudah siap dibina daripada kerajaan negeri, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan.

Beliau berkata hospital swasta yang dimaksudkannya ialah Pusat Perubatan Antarabangsa Sarawak (SIMC) di Kota Samarahan dan ia masih kosong dan kerajaan negeri sanggup menyerahkannya (kepada kerajaan pusat) untuk dijadikan hospital umum.

Dr Chan menambah sekarang cuma masa yang perlu diambil kira sebelum Sarawak boleh memiliki fasiliti perubatan baru.

“Kita telah memaklumkan kepada kerajaan pusat yang kita sudah menyediakan satu (hospital) dan jika kerajaan negeri sanggup menyerahkannya dan kerajaan pusat sanggup mengambil alihnya, Sarawak akan mempunyai HUS yang baru.

“Secara asasnya persetujuan telah dicapai dan kita akan mempunyai HUS yang kedua di Kuching,” katanya ketika merasmikan majlis makan malam Persatuan Perubatan Malaysia Cawangan Sarawak (MMASB) di sini, malam Ahad lepas.

SIMC dibina dengan kos lebih daripada RM350 juta dan ia merupakan projek Kerajaan Negeri Sarawak yang pertama direka bagi menyediakan perkhidmatan perubatan melepasi sempadan negeri dan pada masa sama menjadi hab perubatan di Asia Tenggara.

Hospital berkenaan dikatakan dibina di atas tapak seluas lebih 42,500 meter persegi dengan bangunan hospital setinggi tiga tingkat ‘kompleks podium’ dan bangunan wad pesakit lapan tingkat.

Kemudahan yang disediakan di ‘kompleks podium’ termasuk jabatan kecemasan dan kemalangan untuk rawatan pesakit luar, pusat buah pinggang dan batu karang, pusat kesihatan dan jantung serta pusat kanser.

Kompleks itu juga dirancang dilengkapkan dengan perkhidmatan diagnostik dan rawatan menerusi bilik-bilik bedah, jabatan pengimejan, makmal dan seksyen patologi, makmal kardiak dan jabatan fisioterapi.

Wad pesakitnya pula dilengkapi dengan 166 katil meliputi 18 katil paediatrik, 16 katil pembedahan harian, 102 katil kes umum, 18 katil koronari dan intensif dan 12 bilik khas untuk tetamu-tetamu kehormat.

Dr chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam Negeri berkata Sarawak kini amat memerlukan HUS kedua di tengah-tengah pandemik Influenza A (H1N1) dan penyakit berjangkit lain pada masa akan datang.

Beliau berkata adalah mustahil untuk mempunyai hanya satu kemudahan yang mengendalikan penyakit berjangkit seperti H1N1 atau penyakit lain kerana ia boleh membawa banyak masalah yang akhirnya menjejaskan keseluruhan sistem perubatan.

“Kementerian Kesihatan dan Perdana Menteri telah bersetuju Sarawak perlukan HUS kedua terutama di Kuching dalam waktu terdekat ini,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai penularan H1N1 di negeri ini Dr Chan memberi jaminan kepada doktor dan orang ramai yang kerajaan sangat telus mengenai situasi H1N1 di negeri dan mengikut setiap protokol disediakan Kementerian Kesihatan yang mungkin berubah dari semasa ke semasa.

Pada masa sama beliau mengingatkan doktor serta pegawai perubatan agar bersedia menghadapi penambahan jumlah pesakit yang mengalami penyakit bawaan cuaca seperti kemarau, jerebu dan kekurangan bekalan air bersih pada minggu akan datang.

“Kita berharap tidak akan ada penyakit yang timbul akibat masalah-masalah ini tetapi kita harus sentiasa bersedia terutama bagi menghadapi masalah di kawasan luar bandar,” katanya.

0 comments:

Post a Comment