Pages

Ads 468x60px

Monday, March 29, 2010

Soi Lek 901, Ka Ting 833, Tee Keat 578

KUALA LUMPUR: Percaturan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk bertanding merebut jawatan nombor satu MCA ternyata tepat apabila diumumkan Presiden baru parti itu, mengalahkan dua bekas Presiden dalam pemilihan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA di sini, semalam. Dr Chua yang menduduki senarai teratas dengan majoriti 68 undi mendapat 901 undi, berbanding dua bekas Presiden, Tan Sri Ong Ka Ting yang memperoleh 833 undi, manakala Datuk Seri Ong Tee Keat, 578 undi.

Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan calon favourite, Datuk Seri Liong Tiong Lai mendapat kepercayaan perwakilan apabila memperoleh 1,171 undi sekali gus menyingkirkan pencabar tunggalnya yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Kong Cho Ha dengan majoriti 65 undi. Kong mendapat 1,106 undi.

Pengumuman keputusan pada kira-kira jam 6.50 petang itu melakar era baru kepemimpinan MCA apabila gabungan Dr Chua dan Liow akan bersama menerajui MCA sehingga tempoh penggal ini berakhir pada 2011.

Malah, kepemimpinan mereka akan menentukan hala tuju parti berkenaan terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Kemenangan Dr Chua mencatatkan sejarah peribadinya dalam politik apabila berjaya membuat 'comeback' walaupun menang tipis pada pertandingan tiga penjuru itu.

Pencapaian cemerlang Dr Chua juga membawa kepada kemungkinan rombakan Kabinet berlaku dalam masa terdekat bagi memberi ruang kepada Presiden MCA yang baru ini.

Seramai 2,318 perwakilan MCA atau 97.2 peratus daripada 2,377 hadir untuk memilih barisan kepimpinan tertinggi parti berkenaan, bagaimanapun tiga perwakilan tidak membuang undi. EGM kali ini diadakan mengikut Artikel 41 Perlembagaan parti berkenaan.

Ketika sidang media selepas pengumuman kemenangannya, Dr Chua berkata, tugas barisan kepemimpinan yang dipilih bermula serta merta, terutama untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan perwakilan parti berkenaan.

"Saya yakin dengan sokongan semua, kita akan gerak ke depan dengan mengamalkan kepimpinan inklusif dan kolektif yang sentiasa mendengar suara di peringkat akar umbi," katanya di Wisma MCA, malam tadi.

Sebelum meletak jawatan dalam parti dan kerajaan pada Januari 2009 kerana pendedahan video seksnya, Dr Chua memegang jawatan Timbalan Presiden MCA dan Menteri Kesihatan.

Ketika pemilihan pada 2008, Dr Chua mengalahkan bekas Setiausaha Agung, Datuk Ong Ka Chuan, bekas Ahli Jawatankuasa Pusat, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Timbalan Pengerusi MCA Tanjong, Lee Hack Teik.

Kemenangan bekas Menteri Kesihatan itu bagai menggambarkan berakhirnya kerjaya politik Ka Ting selepas meletak jawatan pada Oktober 2008 berikutan kekalahan pemimpin parti berkenaan pada pilihan raya umum lalu, manakala Tee Keat pula dikritik hebat berikutan pembabitannya dalam Skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) hingga menerima undi tidak percaya pada EGM 2009.

Dalam ucapan ringkasnya, Dr Chua juga merakamkan terima kasih kepada semua perwakilan yang memilih barisan kepimpinan MCA semalam, selain mengucapkan tahniah kepada pemimpin parti itu yang dipilih untuk bekerja dengan beliau sebagai satu pasukan.

Dr Chua mengucapkan terima kasih pada Ka Ting dan Tee Keat di atas sumbangan mereka kepada parti dan masyarakat Cina secara keseluruhannya.
Beliau juga meminta supaya kedua-dua pemimpin MCA itu supaya tidak berhenti daripada memberi sumbangan kepada parti dalam sebarang bentuk yang boleh untuk memastikan parti itu lebih diyakini rakyat.

Sementara itu, empat kerusi Naib Presiden yang menjadi rebutan 10 calon bagaimanapun memihak kepada penyandang jawatan berkenaan yang juga bekas Ketua Wanita MCA, Datuk Seri Ng Yen Yen; Donald Lim; Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chor Chee Heung dan Ketua Biro Politik merangkap Ketua MCA Bahagian Kluang, Gan Ping Shou @ Gan Ping Sieu.

Persaingan peringkat Naib Presiden menyaksikan Ng mendahului senarai apabila mendapat sokongan perwakilan apabila memperoleh undi tertinggi sebanyak 1,528, diikuti Donald Lim yang selesa di tempat kedua dengan 1,469 undi, manakala masing-masing Chor dan Gan mendapat undi yang sama iaitu 1,202 bagi mengisi kerusi Naib Presiden ke tiga dan keempat.

Selain itu, 25 calon dipilih untuk mengisi Jawatankuasa Pusat daripada keseluruhannya 86 calon yang bertanding bagi jawatan berkenaan.

*Petikan daripada Berita Harian

0 comments:

Post a Comment