Pages

Ads 468x60px

Wednesday, October 10, 2012

Sasaran 3,000 outlet MR1M di seluruh negara


KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan meneruskan program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) dengan menyasarkan lebih banyak outlet di seluruh negara.
Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Rohani Karim berkata, ia bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat serta memberi peluang kepada lebih ramai lagi pengusaha premis makanan untuk menyertainya. “Tahun ini, sasaran kita ialah mencapai 3,000 outlet MR1M di seluruh negara.

“Setakat ini, terdapat sejumlah 2,629 outlet di seluruh negara,” katanya pada Majlis Pelancaran Program MR1M Bagi Jabatan Kerajaan Persekutuan di kantin Bangunan Sultan Iskandar di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk MD Yahaya Basimin, Pengarah PDNKK Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan pengurus kantin Surini Sulaiman. Bagi Sarawak, Rohani berkata, penyertaan program MR1M sudah melebihi sasaran 150 outlet iaitu sebanyak 164 outlet.

Berhubung penetapan harga maksimum pakej sarapan pagi dan makan tengah hari yang lebih tinggi bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berbanding Semenanjung Malaysia, Rohani berkata ia kerana perbezaan harga bahan mentah.

“Kita tidak dapat menyeragamkan harga maksimum tersebut kerana harga bahan mentah di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia. “Kita juga perlu memikirkan kepentingan pengusaha makanan agar turut menikmati keuntungan,” katanya.

Harga maksimum pakej sarapan pagi yang ditetap- kan bagi Semenanjung Malaysia ialah RM2, manakala Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan RM2.50. Sementara bagi pakej makan tengah hari, harga maksimum yang ditetapkan bagi Semenanjung Malaysia ialah RM4, manakala Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan RM5.

“Kita sudah membuat survei sebelum menetapkan harga maksimum ini dan mendapati ia adalah berpatutan. “Kita juga tidak menafikan ada pengusaha di Sarawak yang menawarkan harga lebih rendah dan ini merupakan tanggungjawab sosial korporat pihak peniaga kepada pelanggan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Rohani berkata, kementeriannya tidak menerima sebarang aduan berhubung kerugian daripada pengusaha premis sebaliknya mereka mendapat pertambahan pelanggan.
 



0 comments:

Post a Comment