Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 8, 2009

PENEMPATAN BARU PENIAGA MANGSA KEBAKARAN

KUCHING Kerajaan negeri bercadang untuk menempatkan peniaga-peniaga di Jalan Kho Han Yong yang terjejas dengan kejadian kebakaran malam Isnin lalu ke satu lokasi baru tidak lama lagi.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, lokasi perniagaan baru itu merupakan tempat sementara bagi membolehkan kira-kira 20 peniaga yang terjejas dengan kejadian itu meneruskan perniagaan mereka seperti biasa.

Menurut beliau, bagaimanapun kawasan sementara itu memerlukan kelulusan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum diumumkan pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

''Kita amat bersimpati dengan nasib peniaga yang terjejas dengan kejadian itu. Meskipun hanya enam buah gerai yang terjejas teruk, tetapi kejadian itu turut menjejaskan 16 peniaga lain berikutan pencawang elektrik turut terbakar dalam kejadian itu," katanya di sini.

Dalam kejadian pada malam Isnin lalu, tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat telah berjaya menghalang kebakaran yang berpunca dari sebuah gerai daripada merebak ke gerai-gerai yang lain.

Daud menjelaskan, tujuan pemindahan sementara itu adalah bagi membolehkan usaha-usaha membaik pulih kawasan itu mudah dilaksanakan.

Kata beliau, antara perkara yang dirancang kerajaan pada masa ini ialah membaiki kerosakan sedia ada atau melakukan perubahan terhadap keadaan gerai menjadi sebuah tempat yang selamat dan kondusif.

Beliau menambah, rancangan pemindahan sementara itu bukannya untuk menganiaya peniaga di situ sebaliknya untuk faedah mereka pada masa depan.


* Petikan daripada Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment