Pages

Ads 468x60px

Tuesday, October 13, 2009

Semangat baru perjuangan BN

Kemenangan di Bagan Pinang bukti penerimaan meluas gagasan 1Malaysia

GEORGETOWN: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Bagan Pinang meniupkan semangat baru di kalangan ahli parti untuk terus berjuang bagi mencapai kejayaan lebih besar, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kejayaan luar jangkaan itu juga membuktikan sambutan menyeluruh dan meluas terhadap gagasan 1Malaysia, sekali gus meyakinkan kerajaan terhadap penerimaan segenap lapisan masyarakat.

"Insya-Allah, kemenangan di Bagan Pinang akan meniupkan semangat baru anggota parti kita di semua peringkat untuk terus berjuang bagi mencapai kejayaan lebih besar lagi pada masa akan datang," katanya.


Beliau bercakap pada sidang media selepas pertemuan tertutup dengan BN Pulau Pinang di sini, semalam.

Dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang kelmarin, calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad menewaskan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi.

Perdana Menteri berkata, keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN mungkin berpunca daripada dasar kerajaan dan perubahan di peringkat nasional atau kedudukan parti di peringkat bahagian atau faktor calon atau ketiga-tiganya sekali.

Sehubungan itu, beliau mahu kajian mendalam dilakukan supaya dapat mengenal pasti faktor menyumbang kepada kemenangan atau kekalahan BN untuk dijadikan iktibar pada masa depan.

"Kalau kita menang besar, kita mesti pertahankan kemenangan kita. Kalau kita kalah, kita mesti tebus kekalahan kita," katanya.

Ditanya pandangan pihak tertentu kononnya kemenangan BN seolah-olah menunjukkan penerimaan terhadap rasuah, Najib berkata, isu berkenaan tidak perlu diperbesar-besarkan kerana Mohd Isa sudah menerima hukumannya.

"Jangan lupa ramai juga dalam pembangkang yang sudah melalui perkara yang sama termasuk Datuk Zaid Ibrahim yang disabitkan oleh panel yang sama (Lembaga Disiplin Umno) tetapi diterima oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Jadi, apa yang dia cakap ini. Dia boleh terima orang macam Zaid tetapi kenapa dijadikan isu besar terhadap Mohd Isa. Beliau setia kepada parti, popular dan sedia bekerja untuk rakyat.

"Jadi, kita tidak perlu jadikan ia sebagai satu isu besar. Apa yang penting ialah keputusan (pilihan raya kecil) yang menjelaskan segala-galanya," katanya.

1 comments:

  1. Salam, PAS hanya nampak keburukan orang lain daripada diri sendiri...... mereka mempergunakan Islam dalam politik sehingga mereka lupa mereka juga terlalu banyak membuat dosa....

    ReplyDelete