Pages

Ads 468x60px

Tuesday, October 13, 2009

Orang Sarawak berkebolehan mentadbir

Sarawak harus dipimpin oleh rakyatnya sendiri bukannya ‘orang luar’ yang mempunyai latar belakang politik atau negeri goyah serta kucar-kacir

KUCHING: Sarawak harus dipimpin dan ditadbir oleh rakyatnya sendiri bukannya ‘orang luar’ yang mempunyai latar belakang politik atau negeri goyah serta kucar-kacir, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.Berucap merasmikan mesyuarat agung tiga tahun sekali PBB Pantai Damai semalam Abang Johari berkata ‘orang luar’ itu tidak sepatutnya mencampuri urusan pentadbiran dan pengurusan negeri ini kerana Sarawak terbukti mempunyai ramai pemimpin politik yang berkaliber dan berwawasan.

Menurutnya disebabkan itu jugalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin Sarawak memegang jawatan dalam kabinet.

“Datuk Idris Jala, misalnya seorang anak jati Sarawak berjaya membawa Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bangkit daripada hampir berdepan muflis beberapa tahun lalu.

“Selaku ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan MAS, Idris berjaya memastikan MAS terus bertahan dan pada masa sama membawa keuntungan kepada syarikat itu.

“Kemampuan dan kewibawaan Idris menyebabkan Perdana Menteri (Najib) melantik beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri biarpun beliau bukan ahli politik.

“Idris bertanggungjawab memantau Indeks PencapaianUtama (KPI) negara,” ujarnya.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata rakyat negeri ini harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ke atas kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini.

“Kepimpinan PKR negeri sudah beralih kepada ahli politik dari Perak mengambil alih daripada anak Sarawak.

“Bagaimana PKR boleh mendakwa pelantikan itu akan membantu Sarawak sedangkan parti itu tiada kepercayaan terhadap rakyat negeri ini memimpin parti itu sebagai pengerusi,” ujarnya.

Beliau menambah, keupayaan pemimpin PKR negeri yang datangnya dari Perak membantu dan mengetuai parti berkenaan juga diragui memandangkan ketika ini senario politik di negeri itu (Perak) kucar- kacir.

Abang Johari berkata keadaan itu amat berbeza dengan PBB yang terbukti mempunyai visi serta agenda politik cukup jelas yakni meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi projek atau program pembangunan fizikal dan sosioekonomi.

Malah katanya PBB telah menjadi ‘tonggak’ dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak yang sentiasa bekerjasama rapat dengan parti komponen BN lain untuk memanjangkan visi serta agendanya.

“PBB bukan hanya berjuang untuk Melayu atau komuniti Bumiputera semata-mata tetapi bukan Bumiputera…usaha pengerusi BN Negeri yang juga Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah memperkenalkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), tujuannya mencipta peluang sosioekonomi kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Pada masa sama Johari mengingatkan ahli PBB agar terus bersatu kerana ia perkara penting untuk memastikan parti itu kekal kukuh dan ini dapat dilihat ketika ia berdepan cabaran politik yang hebat pada 1977, 1978 dan 1987.

Beliau tidak menafikan wujudnya pengkhianat atau ‘musuh dalam selimut’ dalam parti tetapi jika majoriti memilih untuk setia dengan visi dan agenda parti, PBB akan kekal mantap serta kukuh.

Terdahulu Pengerusi PBB Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi yang kekal menjawat jawatan itu tanpa bertanding berkata cawangan itu sebulat suara menyokong agar jawatan presiden parti yang ketika ini dipegang Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tidak dipertandingkan dalam konvensyen PBB yang dijadual pada awal tahun depan.

Dr Abdul Rahman juga memberitahu cawangan itu mahu jawatan tertinggi parti seperti timbalan presiden, naib presiden kanan dan naib presiden kekal disandang pemimpin sedia ada.

Dalam mesyuarat itu juga Abang Johari diberi penghormatan menyampaikan pingat perkhidmatan setia kepada pemimpin-pemimpin akar umbi PBB.

Penerima-penerima tersebut ialah Maseli Drahman, Penghulu Kassim Abdul Wahed, Penghulu Siri, Penghulu Bujang Som Derahim, Pemanca Rashidi Junai, Dayang Bibi Mujir, Fatimah Hazmi, Mohamad Ismai, Sapuan Oya, Serudin Mohamad, Sepe Bujang, Johar Jaafar, Mahdi Rosli, Sulaiman Sahmi, Suhaili Kifli dan Mahrip Sapong.

0 comments:

Post a Comment