Pages

Ads 468x60px

Thursday, October 15, 2009

Realisasikan transformasi

Suara keazaman tiga sayap Umno

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno senada mahu parti itu menjalani proses transformasi segera supaya terus diterima rakyat, terutama di kalangan golongan muda, sekali gus memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua tiga sayap parti itu yakin transformasi yang akan dilaksanakan menerusi pindaan perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung Khas Umno hari ini, mampu mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya orang Melayu kepada Umno dan menarik lebih ramai rakyat pelbagai kaum menyokong BN.

Serentak itu, Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin Jalil, bertekad untuk membawa perubahan kepada pergerakan masing-masing dan memberi imej baru kepada parti supaya Umno kembali menjadi pilihan rakyat.


Mereka menzahirkan keazaman berkenaan dalam ucapan dasar sulung pada perhimpunan agung pergerakan masing-masing, semalam, dengan menyuarakan pandangan dan menggariskan program untuk mengukuhkan perjuangan Umno yang bukan saja untuk membela orang Melayu, malah rakyat secara keseluruhannya dalam semua bidang termasuk ekonomi dan sosial.

Shahrizat, dalam ucapan bertema Regenerasi Masyarakat Malaysia-Satu Tekad Wanita, berkata dalam aspek politik, bangsa Melayu kini boleh diibarat seperti telur di hujung tanduk; ikan di gigi air atau embun di hujung rumput yang jika tidak menjalani proses transformasi akan menyebabkan mereka kehilangan kuasa akibat politik pecah belah oleh parti pembangkang.

Beliau juga berkata, seiring dengan Dasar Wanita Negara 2009 dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita, pergerakan itu akan memberi tumpuan kepada 13 sektor utama, khususnya ekonomi, kemiskinan, undang-undang, keganasan terhadap wanita, pendidikan, sains dan teknologi, institusi pembangunan wanita, alam sekitar, sukan serta kebudayaan, kesenian dan warisan.

Daripada 13 sektor utama itu, fokus akan diberikan terhadap isu wanita dan undang-undang syariah, pengupayaan ekonomi wanita dan kepemimpinan wanita yang semuanya akan memberi manfaat besar bukan saja kepada wanita Melayu dalam Umno, malah keseluruhan golongan wanita yang menjadi warga negara ini.

"Wanita Umno mesti berjuang bagi menyerlahkan potensi 13.9 juta wanita Malaysia kerana kita percaya pelaburan ke atas wanita adalah pelaburan paling bijak yang dapat memberi pulangan jangka panjang dan berterusan kepada kemakmuran negara," katanya.

Khairy pula berkata, pindaan perlembagaan parti akan membawa transformasi besar kepada Umno dan membantu parti menentukan barisan kepimpinan tertinggi, memudahkan ahli bertanding tanpa sekatan, menjadikan Umno lebih inklusif dan memudahkan proses menjadi ahli selaras dengan harapan akar umbi Pemuda untuk menyegarkan dan meremajakan Umno.

"Pemuda Umno berpendapat ia tepat pada waktunya dan berharap akan menjadi langkah permulaan bagi mencerminkan profil Umno sebagai parti akar umbi yang terbuka dan demokratik.

"Jika berjalan lancar, kita berharap suatu hari nanti kuasa pemilihan diberikan kepada semua tiga juta ahli dengan Satu Ahli Satu Undi," katanya dalam ucapan bertema Di Persimpangan Jalan Perjuangan.

Mengenai perancangan Pemuda Umno untuk membela golongan muda, Khairy memohon kerajaan melaksanakan langkah mesra golongan muda dalam bajet 2010 dengan memperkenalkan inisiatif khas, termasuk peluang pekerjaan lebih luas, latihan sepanjang hayat dan pinjaman khas untuk usahawan muda selain tabung pinjaman perumahan, diskaun istimewa membeli kereta nasional serta peruntukan RM200 bagi anak pertama setiap keluarga.

Sementara itu, Rosnah berkata, transformasi seharusnya bermula pada peringkat minda, disusuli dengan usaha menggerakkan jentera parti sehingga ke akar umbi bagi membetulkan semula landasan perjuangan ke arah memasyarakatkan dan mengakarumbikan Umno.

"Transformasi juga menuntut kita membuktikan bahawa Umno bukan bersifat eksklusif, jauh sekali elitis, sebaliknya bersifat inklusif dan berkhidmat untuk semua. Inilah perubahan, inilah iltizam, inilah kehendak rakyat dan inilah keazaman yang mesti ada pada setiap pemimpin," katanya.

Mengenai usaha Puteri Umno membantu golongan wanita muda, beliau berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan memberi perhatian serius dalam bidang pendidikan, kemiskinan bandar, ekonomi Melayu, agama dan kesihatan.

0 comments:

Post a Comment