Pages

Ads 468x60px

Thursday, October 15, 2009

Tiada lagi ‘bandar tidur’

Pelan pembangunan bakal akhiri jolokan sedemikian bagi Sri Aman

SRI AMAN: Sri Aman bakal menyingkirkan jolokan ‘bandar tidur’ dengan kewujudan sebuah bandar moden yang lengkap dengan segala infrastruktur canggih melalui perancangan pelan pembangunan baru bandar Sri Aman.

Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata, bandar moden yang dibina atas tapak lama kuarters kerajaan lama sebelum ini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Menurutnya, pelan induk mengenai racangan pembangunan mentransformasikan bandar ini kepada bandar moden telah diluluskan, sekali gus akan lebih menceriakan lagi bandar ini dengan kewujudan bangunan-bangunan baru di sini.

Jadi buat masa ini bandar moden Sri Aman akan dilaksanakan secara berperingat-peringkat dan apa yang penting sekali pelan yang disediakan akan mengikut rancangan yang telah ditetapkan, ujarnya.

Di samping itu, pelan untuk membangunkan industri pertanian dan pelancongan untuk menarik lebih ramai pelawat berkunjung ke bandar ini turut dalam senarai rancangan kerajaan negeri, katanya.

“Bahagian Sri Aman hari ini jauh lebih maju berbanding sebelum ini sehinggakan kakitangan kerajaan yang hendak ditempatkan berkhidmat di Lubok Antu (dahulu) takut kerana menganggap kawasan luar bandar ini difikirkan seperti ‘hidup di dalam penjara’… namun kini semuanya sudah berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman semalam.

Selain itu, kata Taib, fenomena benak yang menjadi aset tarikan utama dalam menjana industri pelancongan serta tanah yang luas dan subur juga mendorong kerajaan untuk membangunakan pertanian secara komersial di Sri Aman.

Menurutnya, kawasan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seluas 100,000 hektar dengan peruntukan berjumlah RM300 juta telah dimajukan dengan tanaman kelapa sawit di bawah projek Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).

Sementara itu, katanya, kawasan seluas 100,00 hektar lagi dirancang akan dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit bagi menambah ladang kelapa sawit yang sudah sedia ada di kawasan Sri Aman.

“Tumpuan diberikan kepada pembangunan sektor perladangan kelapa sawit keseluruhannya melibatkan kawasan tanah pusaka seluas 200,000 hektar di kawasan ini,” jelasnya.

Penggunaan jentera moden pula digunakan dalam projek tanaman padi secara komersial di kawasan Stumbin-Bijat di Lingga yang sekali gus dijangka akan meningkatkan taraf hidup golongan petani di Sri Aman, katanya.

Justeru, golongan petani dan masyarakat di Bahagian ini perlu bersedia mengubah cara pertanian tradisional kepada komersial yang terbukti lebih menguntungkan.

Beliau menjelaskan bahawa pelantikan Datuk Rohani Abdul Karim sebagai timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam hal pertanian di peringkat persekutuan yang kebetulan juga wakil rakyat di sini secara tidak langsung memberi peluang dan kelebihan kepada rakyat di situ untuk meneroka bidang pertanian moden.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA) Datuk Rohani Abdul Karim, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Larry Sng, Senator Datuk Empiang Jabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri, Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan, ADUN Bukit Bangunan Mong Dagang, ADUN Batang Ai Malcom Mussen Lamoh dan Residen Sri Aman Abang Shamsuddin Abang Seruji.

0 comments:

Post a Comment