Pages

Ads 468x60px

Monday, September 14, 2009

Sabah&Sarawak: Si Kenyalang: Sambutan Aidilfitri sesuai semangat '1Malaysia' di Sarawak

TINGGAL seminggu saja lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri sebagai menandakan kemenangan selepas berperang dengan hawa nafsu selama sebulan dengan menunaikan ibadah puasa.

Berbeza dengan Semenanjung, sambutan Aidilfitri di Bumi Kenyalang lebih warna-warni dengan 30 suku etnik turut meraikan perayaan itu, dengan beramai-ramai mengunjungi rumah saudara mara dan sahabat handai beragama Islam.

Uniknya Sarawak, ada kalanya sesebuah keluarga itu meraikan hampir semua perayaan hasil ikatan perkahwinan campur yang banyak berlaku dalam masyarakatnya dan konsep perkahwinan campur itu sendiri diterima secara terbuka.

Penulis sendiri ada kenalan rapat empat beradik dalam satu keluarga Iban yang keempat-empatnya mengahwini kaum lain - Orang Ulu, Cina, Melayu dan India, namun hubungan kekeluargaan mereka tetap akrab, dengan sambutan semua perayaan berkaitan diraikan bersama-sama.

Tidak hairanlah sukar untuk membezakan kaum di Sarawak, terutama dalam keluarga yang berlaku perkahwinan campur, apa lagi bahasa Melayu Sarawak menjadi bahasa komunikasi yang boleh ditutur semua kaum, baik Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu, Melanau, Cina dan India, sedang pada masa sama bahasa ibunda masing-masing tetap teguh dipertahankan.

Di Sarawak juga kita boleh menyaksikan semua kaumnya mengamalkan budaya ikram, tanpa ada perasaan iri hati dan hasad dengki antara satu kaum dengan lain, berkat layanan sama rata kepada semua kaum yang diberikan kerajaan selama ini, yang sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kumpulan etnik.

Selayaknya kepemimpinan negara sendiri, Datuk Seri Najib Razak mengiktiraf Sarawak adalah lambang terbaik konsep '1Malaysia' dengan semangat `1Malaysia' terserlah bukan saja dalam kehidupan seharian, malah ketika perayaan seperti Aidilfitri yang menjelang tiba.

Adat kunjung mengunjung pada setiap perayaan termasuk Hari Raya Puasa, akan membabitkan semua kaum. Bahkan, pemimpin beragama Islam yang turut menyambut perayaan itu mengadakan rumah terbuka untuk semua lapisan masyarakat setiap kali Aidilfitri.

Begitu juga dengan perayaan lain, seperti Gawai Dayak - pemimpin berbangsa Dayak akan mengadakan rumah terbuka untuk semua kaum.

Di Sarawak, Aidilfitri disambut selama sebulan. Selepas solat sunat Aidilfitri pada pagi raya, umat Islam selalunya mengunjungi kedua-dua orang tua, sebelum mengadakan rumah terbuka pada sebelah tengah hari raya pertama bagi menyambut kedatangan rakan beragama lain.

Pada hari kedua dan ketiga raya juga selalunya digunakan bagi menyambut kedatangan sahabat handai termasuk dari agama lain.

Selalunya masyarakat Sarawak menjadikan hari keempat hingga ke-14 untuk mengunjungi sanak saudara lain. Ada juga sanak saudara tinggal jauh, khususnya di pedalaman negeri ini menjadikan minggu ketiga dan keempat masa untuk mengunjungi sanak-saudara di bandar.

Sekurang-kurangnya 10 hari pertama Syawal juga umat Islam di Sarawak menghiasi kawasan rumah dengan lampu warna-warni atau sekurang-kurangnya hiasan pelita yang dikenali sebagai adat `bertuntung' di kalangan masyarakat Sarawak.

Pertandingan 'bertuntung' antara kampung juga kerap diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri pada setiap tahun.

Lampu warna-warni dan pelita selalunya mula dipasang sembilan hari sebelum Aidilfitri atau lebih dikenali sebagai malam `satu likur'. Lebih banyak lampu atau pelita akan dipasang pada malam `tujuh likur' iaitu tiga hari sebelum Aidilfitri dan ia akan terus menyala sehinggalah hari ke-10 Aidilfitri.

Di Sarawak juga amat jarang sekali kita dengar kes cedera terutama terputus jari akibat bermain mercun, biarpun ada juga kedengaran dentuman mercun ketika malam menjelang Aidilfitri dan pada malam-malam di bulan Syawal.

Seperkara lagi uniknya Aidilfitri di Sarawak ialah suasana sambutan tidak akan terasa tanpa hidangan pelbagai jenis air bergas atau lebih dikenali sebagai 'air lemenet' di kalangan penduduk tempatan.

Begitu juga dari segi hidangan, dengan Sarawak terkenal dengan kek lapis Sarawak, boleh dikatakan setiap rumah akan menghidangkan pelbagai jenis kek lapis, selain kek biasa, pelbagai jenis biskut dan pelbagai jenis kudapan.

Antara kek lapis popular di Sarawak ialah 'kek lapis pua kumbu'; 'kek lapis masam manis'; 'kek lapis intan terpilih'; 'kek lapis ketupat'; 'kek lapis strawbery coklat cadbury'; 'kek lapis Putra Jaya'; 'kek lapis coffe princes' dan 'kek lapis evergreen'.

Pastinya masakan lemang, ketupat, kari, rendang dan sate juga menjadi kegemaran, dan ia selalunya hanya dihidangkan kepada tetamu pada hari pertama dan kedua raya saja, sedangkan hari ketiga dan seterusnya, pelbagai jenis kuih- muih akan terus menjadi hidangan.

Bagi bukan rakyat Sarawak, jangan terkejut jika melihat baju Melayu masih digayakan sehingga minggu kedua Aidilfitri untuk adat kunjung mengunjung.

Selain baju kurung, bagi lelaki di Sarawak kebiasaannya akan menempah sekurang-kurangnya dua pasang baju Melayu untuk dipakai bagi mengunjungi saudara mara dan sahabat handai sepanjang sambutan Aidilfitri.

Pendek kata semangat raya benar-benar hidup di Bumi Kenyalang, begitu juga bagi perayaan penganut agama lain, kerana penduduknya yang berjumlah kira-kira 2.4 juta dari lebih 30 suku etnik, saling menghormati adat istiadat, budaya dan agama masing-masing.

*Petikan dari Berita Harian

0 comments:

Post a Comment