Pages

Ads 468x60px

Monday, September 14, 2009

BN mampu menang di Bagan Pinang

JELEBU 13 Sept. - Barisan Nasional (BN) mampu mencipta kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan negeri (DUN) Bagan Pinang akan datang walaupun menerima kritikan dari pelbagai pihak.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, aspek pembangunan masih lagi menjadi agenda utama BN dan ia masih diteruskan serta diberi keutamaan.

"Mungkin ada kritikan tetapi bumi mana yang tidak kena hujan, bumi mana yang tidak retak, tinggal lagi kita harus berkebolehan untuk menangkis dan menghalakan pandangan penyokong kepada yang positif," kata Rais.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa di Masjid Simpang Pertang di sini malam tadi.

Menurut Rais, proses kemajuan serta keprihatinan para pemimpin BN di kawasan itu menyebabkan BN berjaya memenangi kerusi Bagan Pinang pada pilihan raya umum Mac tahun lepas.

Katanya, BN juga mampu bertahan di kawasan tersebut berdasarkan rekod cemerlang, Allahyarham Azman Mohd. Noor.

"Selain itu penduduk di situ masih lagi mempunyai perasaan segan dengan kepimpinan bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa Samad sebagai tokoh besar dalam kepimpinan negeri.

Ditanya mengenai pencalonan Ketua Bahagian Telok Kemang itu sebagai calon BN, Rais berkata, Mohd. Isa boleh diberi peluang sedemikian.

"Beliau boleh diberi percubaan tetapi apa yang penting adalah apabila calon sudah diputuskan jangan ada perbalahan, seperti yang berlaku di Permatang Pasir.

"Kita tidak mahu separuh masanya habis mendebatkan tentang calon, ini seharusnya tidak timbul di Bagan Pinang," katanya.

0 comments:

Post a Comment