Pages

Ads 468x60px

Saturday, September 19, 2009

BN umum calon Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang 29 September

SEREMBAN 18 Sept. – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 29 September ini di Port Dickson sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri parti itu peringkat negeri.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, calon yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan itu akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

‘‘Jamuan ini akan diadakan dalam kawasan DUN Bagan Pinang dan pada masa sama, BN akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil, 11 Oktober ini,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat BN negeri di Wisma UMNO di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Menteri Besar menegaskan, Badan Perhubungan UMNO negeri masih lagi belum menerima senarai nama daripada UMNO Bahagian Teluk Kemang yang diketuai oleh Tan Sri Mohd. Isa Samad.

‘‘Saya belum menghantar nama pada pucuk pimpinan parti kerana belum menerimanya daripada UMNO Bahagian Teluk Kemang,” kata beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Ditanya butiran pertemuannya dengan Muhyiddin di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata ia adalah Mesyuarat Pengurusan UMNO dan UMNO negeri ini diminta memberi taklimat berhubung gerak kerja di DUN Bagan Pinang.

‘‘Saya telah memberi taklimat kepada pengurusan UMNO mengenai persediaan yang kita buat di peringkat negeri dan Teluk Kemang bagi menghadapi pilihan raya kecil ini.

‘‘Kita juga mengambil kira pandangan yang diberikan oleh pihak pengurusan UMNO berhubung beberapa isu yang memerlukan perhatian semua pihak di sini,” jelas beliau.

Mengenai pandangan bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar Mohd. Isa tidak dicalonkan untuk bertanding di DUN Bagan Pinang, Mohamad menjelaskan, ia adalah pandangan peribadi beliau dan wajar diambil kira.

‘‘Tun Mahathir merupakan pemimpin besar dan individu yang cukup berpengalaman sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Jadi pandangan beliau kenalah diambil kira,” kata Mohamad.

Menjawab soalan pemberita berhubung pertemuan kali kedua selepas kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang dengan pemimpin parti komponen BN negeri hari ini, beliau menjelaskan semua pihak, MCA, MIC, Gerakan dan PPP telah menyatakan sokongan tanpa berbelah bahagi.

‘‘Saya nasihatkan mereka supaya menemui seramai mungkin pengundi di kawasan DUN Bagan Pinang dan menghubungi mereka yang tidak lagi menduduki kawasan itu, tetapi balik untuk mengundi.

‘‘MCA akan melaksanakan sistem zon yang dibahagikan kepada empat untuk lebih mesra pengundi, manakala MIC akan bergerak dan mencari pengundi yang telah lama meninggalkan estet dan sebagainya,” kata beliau.

Kata Mohamad, pertemuan hari ini lebih fokus untuk memenangi hati 13,664 pengundi di situ dengan BN merangka empat cara untuk pelaksanaannya menerusi program jabatan kerajaan, kekuatan parti, wakil rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

‘‘Semua wakil rakyat BN di negeri ini akan diberi amanah menjaga 500 rumah pengundi di mana mereka perlu menemui setiap hari sekurang-kurangnya 70 buah rumah untuk memastikan dasar kerajaan BN diperjelaskan dengan betul,” kata Mohamad.

0 comments:

Post a Comment