Pages

Ads 468x60px

Tuesday, September 15, 2009

Tarikh mengundi 11 Oktober

PUTRAJAYA 14 Sept. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 3 Oktober ini manakala 11 Oktober pula tarikh pengundian jika ada pertandingan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, berikutan itu pihaknya akan menggunakan daftar pemilih yang telah dikemaskinikan sehingga 4 September lalu yang mengandungi 13,664 pemilih berdaftar iaitu 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos.

''Tarikh mengundi bagi undi pos belum ditetapkan lagi tetapi seperti sebelum ini, ia akan dilaksanakan dua atau tiga hari sebelum tarikh pengundian sebenar.

''Kami akan memaklumkan tarikh mengundi bagi undi pos kepada parti-parti politik yang terlibat sekurang-kurangnya 24 jam sebelum ia dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung kedudukan kerusi DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan di sini hari ini.

Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor pada 4 September lalu akibat jangkitan dalam darah.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, Azman, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi 6,430 menewaskan calon Pas, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi.

Abdul Aziz memberitahu, SPR akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

Menurutnya, bagi urusan pengundian pos pula, proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Port Dickson.

''Pusat mengundi pula adalah sebanyak lapan buah melibatkan lapan sekolah dan 18 saluran mengundi," katanya.

Katanya, SPR melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Abdul Wahab Shamsuddin sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil itu.

''SPR turut menubuhkan tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang bertanggungjawab memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen," katanya.

Abdul Aziz mengingatkan parti politik yang bertanding supaya mematuhi subseksyen 26 (1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan larangan berkempen pada hari mengundi.

''Sesiapa yang didapati melanggar subseksyen itu boleh disabitkan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau keduanya sekali," katanya.

0 comments:

Post a Comment