Pages

Ads 468x60px

Wednesday, October 21, 2009

1,371 layak terima kupon beras e-kasih

JKM Miri akan kemas kini senarai untuk pastikan tiada nama yang tercicir

MIRI: Seramai 1,371 penduduk miskin tegar di kawasan Miri dan Baram layak menerima kupon beras e-kasih selepas nama mereka disenaraikan dalam rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri.Jurucakap JKM ketika dihubungi semalam memberitahu, jumlah yang layak masing-masing terdiri daripada balu, Orang Kurang Upaya (OKU), warga tua, elaun pekerja cacat dan bantuan kanak-kanak.

“Turut layak ialah mereka yang terdiri daripada OKU tidak bekerja dan pesakit kronik. Senarai ini nanti akan dihantar ke ibu pejabat JKM untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Jurucakap itu memberitahu, jumlah berkenaan juga dijangka akan bertambah memandangkan pihaknya setiap hari menerima pendaftaran baru bagi penduduk miskin tegar.

“Kami akan sentiasa mengemas kini senarai penduduk miskin tegar bagi membolehkan mereka yang layak menerima bantuan kupon beras e-kasih serta mengelakkan daripada penipuan,” katanya.

Jurucakap itu kemudiannya memberitahu, JKM juga akan terus menyenaraikan nama penduduk miskin tegar bagi kawasan Miri dan Baram supaya tiada penduduk miskin yang tercicir menerima bantuan berkenaan.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim menggesa setiap Ahli Parlimen di negeri ini mengemas kini senarai penduduk miskin tegar bagi membolehkan kupon beras e-kasih diedarkan untuk mereka yang layak.

Katanya, setiap penerima akan diberi tiga kupon sebulan dengan setiap kupon bernilai RM24 dan ditukarkan dengan beras 10 kilogram.

Ahli Parlimen, katanya harus mengemas kini senarai penduduk miskin tegar bagi membolehkan mereka yang benar-benar layak menerima kupon beras berkenaan.

Tambahnya, Jabatan Perdana Menteri sudah mempunyai senarai nama penerima daripada Ahli-ahli Parlimen namun ia harus dikemas kini bagi mengelakkan penipuan.

Jelasnya, penggunaan kupon beras tersebut adalah bagi menggantikan beras subsidi ST15 yang terdapat di pasaran sekarang.

Kementeriannya juga akan melantik sebanyak 54,000 peruncit daripada 1,000 pemborong
di seluruh negara bagi melaksanakan penukaran kupon kepada beras.

0 comments:

Post a Comment