Pages

Ads 468x60px

Wednesday, October 21, 2009

Berita gembira untuk rakyat

Pemimpin S’wak sambut baik 16 September diisytihar cuti umum

KUCHING: Pengisytiharan 16 September setiap tahun sebagai cuti umum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam disambut baik dan disifatkan sebagai berita terbaik tahun ini oleh pemimpin-pemimpin negeri ini.Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri Dr James Masing berkata 16 September perlu diberi penekanan dan diisytiharkan cuti umum kerana tarikh itu sangat signifikan kepada negara.

“16 September seharusnya diisytihar sebagai Hari Malaysia, kerana ia adalah tarikh pembentukan Malaysia.

“Cuti Umum atau tidak itu tidak penting, tetapi ia harus diutamakan bagi mengingati sejarah yang berlaku 46 tahun lalu kerana pada hari itu lahirnya Malaysia,” katanya apabila diminta mengulas mengenai pengumuman Najib semalam.

Masing berkata Najib sedar kepentingan tarikh tersebut dan mahu rakyat menghormati Hari Malaysia seperti dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia di Kuching baru-baru ini.

“Perdana Menteri dalam ucapannya berkata tiga wilayah Malaya, Sabah dan Sarawak disatukan bagi membentuk Malaysia… kita tidak mengambil kira negeri tetapi wilayah.

“Sebab itu saya sangat berterima kasih apabila beliau mengatakan tiga wilayah telah menjadi satu. Bukan tiga negeri,” ujarnya.

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Dato Sri William Mawan juga senada dengan Masing.

Mawan berkata dengan pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum ia dapat mengukuhkan lagi makna Hari Malaysia dan pentingnya tarikh itu kepada sejarah Malaysia.

“Rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak harus bersyukur dan berterima kasih dengan pengumuman perdana menteri itu… dengan mengiktiraf 16 September sebagai Hari Malaysia ia membolehkan generasi muda mengingati peristiwa bersejarah ini,” kata Mawan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi berkata, Najib membuat pengumuman itu tepat pada masanya kerana beliau mengakui dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia di Kuching baru-baru ini bahawa tidak ramai rakyat Malaysia tahu betapa bermaknanya tarikh 16 September itu.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah pula berkata dengan menjadikan 16 September cuti umum, rakyat sudah tentu akan mengingati tarikh keramat itu sama seperti 31 Ogos (Hari Kebangsaan).

“Jadi apabila beliau (Najib) menetapkan 16 September cuti umum, ia salah satu cara untuk mengingati rentetan peristiwa penubuhan Malaysia dan tarikh-tarikh penting…jadi keputusan itu amat dialu-alukan,” katanya.

Bagi Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Fadillah Yusof pengumuman Najib itu merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan rakyat Sarawak dan Sabah yang merasakan sejarah penubuhan negara Malaysia dengan penggabungan tiga wilayah diingati dengan mengisytiharkan 16 September cuti umum.

“Sambutan Hari Malaysia berserta cuti umum juga mampu mengukuhkan lagi perpaduan tiga wilayah, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Ini juga membuktikan Najib mengkotakan janjinya,” ujar Fadilah. Sementara itu, Presiden Persatuan Warisan Bung Bratak, Dato’ Peter Minos menyifatkan pengumuman Perdana Manteri sebagai ‘sangat bagus’ dan pastinya menggembirakan rakyat negeri Sarawak dan Sabah.

“Sejak tahun 1963 kita sudah mahu 16 September diisytiharkan Hari Malaysia dan cuti umum. Akhirnya ia menjadi kenyataan. Terima kasih banyak-banyak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Beliau (Perdana Menteri) ternyata dapat menerima sejarah sebagai realiti. Harapan saya ia (cuti umum) tidak akan dimansuhkan di masa akan datang. Apa yang diumumkan Perdana Menteri merupakan berita yang paling manis tahun ini,” kata Minos.

0 comments:

Post a Comment