Pages

Ads 468x60px

Friday, October 23, 2009

Tian Chua kena enam bulan, denda RM3,000

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, mungkin hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Batu berikutan keputusan Mahkamah Majistret di sini mengenakan hukuman penjara enam bulan serta denda RM3,000 ke atasnya, semalam.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, yang didapati bersalah atas tuduhan mencederakan konstabel polis pada perhimpunan haram di perkarangan Parlimen, dua tahun lalu, mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman itu.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jawatan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen akan terlucut sekiranya mahkamah menolak rayuannya dan mengekalkan hukuman itu.

Mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Parlimen yang didapati bersalah oleh mahkamah dan dipenjara melebihi setahun atau denda melebihi RM2,000 boleh dilucutkan jawatannya.

Wan Ahmad bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang andaian sehingga rayuan Tian Chua selesai.

"SPR akan menunggu proses rayuan selesai dulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Terdahulu, Majistret Mohd Faizi Che Abu dalam penghakimannya memerintahkan hukuman penjara enam bulan yang dikenakan ke atas Tian Chua, 46, berkuat kuasa semalam.

Mohd Faizi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan yang diwakili peguam Ranjit Singh dan Amer Hamzah Arshad gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Tian Chua.

Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu bagi membolehkan Tian Chua membuat rayuan di Mahkamah Tinggi dan memerintahkan permohonan itu difailkan dalam tempoh 14 hari.

Tian Chua sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Rosyaidi Anuar, 22, ketika bertugas di perkarangan Parlimen pada jam 10.45 pagi, 11 Disember 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd Faizi berkata, tiada sebarang keistimewaan diberikan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Tian Chua, walaupun tertuduh seorang Ahli Parlimen.

Katanya, hukuman yang dikenakan lebih menjurus kepada kepentingan awam yang mana seseorang yang melanggar undang-undang bakal menerima hukuman sewajarnya.

"Jelas di sini bahawa tertuduh tidak mengikuti arahan polis seperti yang dipaparkan dalam rakaman video yang disediakan pihak pembelaan, menunjukkan lebih sepuluh saat pihak polis meminta tertuduh mengeluarkan kad pengenalan tetapi dia tidak mengendahkannya.

"Lagipun jelas dipaparkan bahawa pihak polis menjalankan tugasnya dengan menurut perintah yang dikeluarkan mahkamah tetapi bagaimana cara mereka menjalankan tugas itu adalah di luar bidang kuasa mahkamah," katanya.

Beliau berkata, keterangan tertuduh di dalam mahkamah juga tidak konsisten dan hanya berbentuk penafian semata-mata, manakala keterangannya yang mendakwa pihak polis menahannya secara salah tidak boleh diterima oleh mahkamah.

Tian Chua dalam rayuan yang dikemukakan Amer Hamzah, memohon mahkamah mempertimbangkan perkara berhubung Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan dengan meringankan hukuman itu kepada penjara sehari atau didenda kurang RM2,000.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria bagaimanapun memohon supaya hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan berikutan tertuduh melanggar undang-undang dan ia bukan sekadar kesalahan menggigit saja.

"Apa yang dilakukan oleh tertuduh seperti mengajar orang awam supaya tidak menghormati undang-undang. Tertuduh harus tanggung akibat daripada perbuatannya dan jika dia tidak melakukan kesalahan, dia tidak akan didakwa," katanya.

Tian Chua yang kelihatan tenang ketika ditemui sejurus prosiding selesai mendakwa, dia masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan sedih dengan keputusan mahkamah.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen pula, Ahli Parlimen Batu itu berkata, beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dan akan terus berkhidmat kepada rakyat.

"Hukuman itu tidak akan menjejaskan agenda untuk perubahan dan pembaharuan yang ingin saya lakukan sepanjang menjadi wakil rakyat," katanya.

0 comments:

Post a Comment