Pages

Ads 468x60px

Monday, October 19, 2009

Perubahan dibawa pembangkang menghancurkan

KOTA SAMARAHAN:Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membidas pihak pembangkang yang cuba menunjukkan keupayaan melakukan perubahan terhadap pembangunan rakyat, sebaliknya gagal melakukannya malah membawa kepada kehancuran.Taib berkata, parti-parti pembangkang sememangnya berhasrat tinggi untuk mengubah nasib rakyat, namun mereka tidak mampu mengubah fahaman politik mereka yang tidak ketentuan.
Beliau menegaskan bahawa fahaman politik yang dimainkan pihak pembangkang adalah hanya untuk memecahbelahkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat, sebaliknya rakyat akan menderita kerana nasib mereka tidak mampu dibela.

Sehubungan itu beliau menyelar tindakan parti-parti pembangkang yang sengaja memesongkan pemikiran rakyat untuk tidak menerima perubahan dan pembangunan kerajaan sebaliknya membawa kepada perpecahan di antara pemimpin dan rakyat.

“Fahaman politik sebegitu bukan amalan dan perjuangan kita (PBB), kerana kita akan terus membela nasib rakyat tanpa mengira kaum di negeri ini untuk menikmati pelbagai pembangunan.

“Kita lihatlah negeri-negeri yang telah ditakluki pembangkang di Semenanjung Malaysia pada masa ini, semuanya gagal membangun dengan baik malah berlaku perebutan kuasa, perpecahan rakyat dan rakyat menanggung kerugian kerana tidak menikmati pembangunan.

“Saya harap perkara itu tidak berlaku di negeri kita, sebab kita akui perjuangan pemimpin-pemimpin kita adalah untuk rakyat dan bukannya kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri dan perasmian Mesyuarat PerwakilanCawangan-cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Zon Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini semalam.

Majlis itu dihadiri oleh kirakira 2,000 penduduk termasuk perwakilan daripada lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Zon Samarahan iaitu Muara Tuang, Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan dan Sebuyau.

Hadir sama Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Perancangan dan Pengurusan Sumber) Mohd Naroden Majais, Speaker DUN Sarawak Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar dan Residen Bahagian Samarahan Rodziah Morshidi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Sadong Jaya Datuk Wan Abdul Wahab Sanusi, ADUN Sebuyau Julaihi Narawi dan Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri.

Taib juga mendedahkan tindakan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika sebagai Menteri Kewangan telah memindahkan peruntukan kerajaan untuk membina universiti di negeri ini.

“Inikah perjuangan seorang pemimpin yang mahu membela rakyat. Malah, kini parti yang dipimpinnya juga bercelaru dan tidak tentu arah tujuan,” katanya.

Beliau berharap rakyat negeri ini akan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan dalam meneruskan kesinambungan perjuangan politik ke arah kesejahteraan semua kaum.

0 comments:

Post a Comment