Pages

Ads 468x60px

Friday, October 23, 2009

Tee Keat, Soi Lek berdamai

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalannya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akhirnya bersetuju untuk berdamai dan mengetepikan pergeseran antara mereka dalam pelan perpaduan utama yang dirangka oleh para pemimpin parti itu.

Pelan perpaduan itu telah mendapat restu dan sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Tee Keat dalam sidang akhbar bersama Soi Lek, Timbalan Presiden MCA yang baru, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Setiausaha Agung, Datuk Wong Foon Meng memberitahu, beliau dan bekas timbalannya itu bersetuju untuk bekerjasama sebagai satu pasukan bagi menyatu serta memperkukuhkan semula MCA.

Menurutnya, Soi Lek telah bersetuju untuk bekerja dengan Presiden MCA tanpa sebarang syarat bagi memperkukuh dan menyatukan parti.

''Saya juga telah menerima cadangan daripada Tiong Lai untuk bekerja bersama dengan lebih rapat bagi kebaikan parti.

''Ini adalah masanya untuk bermaaf-maafan dan melihat persekitaran lebih luas mengenai apa yang baik untuk parti dan bukannya untuk individu,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA di sini hari ini.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Naib Presiden MCA, Datuk Kong Cho Ha dan Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen serta dua ahli Jawatankuasa Pusat (CC) iaitu Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Lee Chee Leong.

Menurut Tee Keat, beliau akan berbincang dengan Foon Meng untuk meneliti semula keputusan mengadakan satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Beliau juga berjanji menemui semua pemimpin parti dalam usaha menjadikan MCA sebuah parti yang inklusif serta menyediakan ruang kepada semua pihak bertelagah bekerjasama sebagai satu pasukan.

Tambah Tee Keat, MCA yang bersatu akan membolehkan pemimpin-pemimpin memfokuskan perhatian kepada usaha mengukuhkan parti bagi mendapat keyakinan serta kepercayaan daripada masyarakat Cina dan Malaysia secara amnya.

Mengenai peranan yang akan dimainkan oleh Soi Lek selepas ini jelasnya, perkara itu masih terlalu awal untuk dinyatakan.

Katanya, tiada apa-apa perubahan dalam parti dengan Tiong Lai kekal sebagai Timbalan Presiden kerana CC MCA telah memilihnya untuk jawatan itu.

Tiong Lai ketika ditemui selepas sidang akhbar itu pula memberitahu, beliau menerima formula itu demi perpaduan parti.

Krisis kepimpinan MCA bermula apabila Soi Lek dipecat serta-merta daripada jawatannya pada 26 Ogos lalu berikutan skandal seks beliau yang dirakamkan dalam cakera padat digital (DVD) awal tahun lalu.

Bagaimanapun, keputusan Majlis Presiden itu diubah apabila CC MCA memutuskan untuk menggantung keahlian Soi Lek selama empat tahun berkuat kuasa serta-merta walaupun bekas Menteri Kesihatan itu tidak mengemukakan rayuan.

EGM MCA yang diadakan pada 10 Oktober lalu pula menyaksikan perwakilan meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Tee Keat dan membatalkan keputusan Majlis Presiden untuk memecat Soi Lek.

Perwakilan ke EGM itu bagaimanapun mengundi untuk tidak mengembalikan jawatan Timbalan Presiden kepada Soi Lek.

Pada mesyuarat CC MCA pada 15 Oktober lalu bagi membincangkan keputusan EGM itu, Tee Keat tidak meletakkan jawatannya walaupun menerima banyak desakan manakala Tiong Lai dilantik sebagai Timbalan Presiden.

0 comments:

Post a Comment