Pages

Ads 468x60px

Monday, October 19, 2009

Bumiputera Sabah, S’wak diberi lebih perhatian

PAPAR: Kabinet Persekutuan telah bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kabinet dan Jawatankuasa Teknikal mengenai Bumiputera Sabah dan Sarawak, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko) mengumumkan perkara itu semasa merasmikan Konvensyen Upko Bahagian Kimanis, dekat sini semalam.

Menurut Dompok, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersetuju untuk mempengerusikan jawatankuasa kabinet itu yang dianggotai oleh menteri dari Sabah dan Sarawak termasuk beliau sendiri, Datuk Dr Maximus Ongkili, Datuk Douglas Uggah, Datuk Seri Idris Jala dan beberapa menteri kabinet lain.

Katanya, jawatankuasa kabinet itu, antara lain, bertujuan membincangkan pelaksanaan dasar dan prestasi pembangunan masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak serta membuat keputusan mengenai polisi-polisi baru berkaitan masyarakat itu.

“Sebelum ini, satu unit khas di bawah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) telah ditubuhkan. Bagaimanapun, prestasi yang ditunjukkan unit ini tidak mencapai aspirasi penubuhannya.

“Kami mengajukan kepada Perdana Menteri supaya unit khas ini dinaik taraf menjadi sebuah Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri sendiri supaya isu-isu yang menjadi keprihatinan utama rakyat ini dapat ditangani di peringkat kepimpinan tertinggi pusat,” katanya.

Dompok berkata satu jawatankuasa teknikal yang dipengerusikannya juga ditubuhkan untuk membuat persiapan ke atas perkara yang akan dibawa kepada Jawatankuasa Kabinet serta mempercepatkan pelaksanaan keputusan jawatankuasa itu.

“Keputusan kabinet ini menjadi satu lagi lonjakan kepada falsafah kepimpinan beliau ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Penubuhan jawatankuasa ini boleh menyelesaikan banyak isu di kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tertunggak selama ini,” katanya.

Mengenai resolusi Konvensyen Upko Bahagian Kimanis, Dompok berkata 10 resolusi yang diluluskan oleh perwakilan itu mencakupi isu yang menyentuh tentang perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional, peningkatan ekonomi di kalangan masyarakat anak negeri Sabah, status Bumiputera bagi masyarakat berketurunan Sino, pendidikan dan penukaran nama parti Upko. — Bernama

0 comments:

Post a Comment